KUALA LUMPUR - Felda Global Venture Holdings Bhd  (FGV) mengumumkan penubuhan panel dalaman yang terdiri daripada tiga orang untuk menyiasat empat orang bekas ahli lembaga pengarahnya mulai 24 Julai ini.

Pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata, empat orang yang disiasat tersebut ialah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad, bekas Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Ahmad Tifli Mohd Talha serta dua lagi pegawai pengurusan kanan.

"Kami melakukan proses yang adil untuk memastikan mereka diberi peluang mempertahankan diri, mengemukakan bukti dan mempunyai masa secukupnya untuk memberi respons kepada siasatan dalaman itu.

"Kami menyasarkan siasatan akan dapat diselesaikan menjelang 14 Ogos 2017,"  katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri FGV di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengesahkan penemuan bukti baharu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan sebelum ini.

“Kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam siasatan kes tersebut,” katanya.

Menurutnya, SPRM melakukan serbuan di pejabat Felda Investment Corporation (FIC) hari ini berikutan penemuan bukti baharu berkaitan pembelian hotel di London oleh FIC.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak mengetahui apa bukti baharu tersebut tetapi yakin Felda dan FIC akan terus bekerjasama dengan SPRM. - Bernama

 

 

 


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Felda Global Ventures (FGV) dan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) kini di penghujung dan setelah siap dilengkapkan akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara, pada bulan ini.
  • PUTRAJAYA - Bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Behad (FGV), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini untuk permohonan perintah reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
  • KUALA LUMPUR - Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) melantik Datuk Abu Bakar Harun dan Ab Ghani Mohd Ali sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, berkuat kuasa hari ini.
  • KUANTAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakamkan percakapan 60 orang saksi dalam siasatan terhadap Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) setakat ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.