JOHOR BAHRU - Polis Johor melancarkan lapan serbuan sekitar negeri ini, dan Selangor bagi menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah, pada 9 Januari lalu.

Hasil serbuan dan pemeriksaan bermula jam 9 pagi hingga 11.20 pagi, tindakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) berjaya menangkap 11 ahli sindiket.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kesemua tangkapan berusia antara 29 hingga 63 tahun.

Menurutnya, serbuan itu turut merampas 7,460 pil diyaki eramin 5, 312 biji pil disyaki ekstasi, 90 gram ketulan mampat disyaki ganja, 102 kilogram serbuk disyaki dadah, 42,960 kapsul disyaki dadah dan 340 pil disyaki dadah.

"Nilai rampasan disyaki dadah dianggarkan bernilai RM3 juta.

"Nilai sitaan harta pula RM2.5 juta terdiri pelbagai matawang tunai bernilai RM55,346, 11 buah kenderaan dianggarkan bernilai RM2.1 juta, pelbagai barang kemas bernilai RM124,320 dan pelbagai jam tangan mewah bernilai RM214,000," katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, kesemua tangkapan terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripadanya positif dadah.

"Kesemua tangkapan direman sehingga 16 Januari ini, untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu merupakan hasil usaha pihaknya dalam memastikan aktiviti sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah berjaya ditumpaskan.

Katanya, polis juga sentiasa memerlukan kerjasama serta penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.