KOTA TINGGI - Kemalangan maut membabitkan empat kenderaan di Jalan Bypass Johor Bahru-Mersing berhampiran susur masuk ke Taman Daiman petang tadi mengorbankan nyawa sepasang suami isteri.

Mangsa dikenali sebagai Noraziah Mohamad Ali, 36, dan Edil Azhar Abdul Rahman @ Mohamed, 39, menaiki kereta jenis Perodua Kancil difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Pasak.

Kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu membabitkan dua buah Perodua Kancil, sebuah Proton Bezza dan Honda Accord.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Bezza dari arah Kota Tinggi menghala ke Johor Bahru telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Kancil yang dinaiki pasangan berkenaan.

Turut terlibat dalam pertembungan itu sebuah lagi Perodua Kancil dan juga Honda Accord yang datang dari arah Johor Bahru menghala ke Kota Tinggi.

Ekoran itu menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan Perodua Kancil meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan kecederaan di badan.

Pemandu Proton Bezza mengalami cedera ringan manakala pemandu sebuah lagi Proton Kancil dan Honda Accord tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Bezza," katanya.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk urusan bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1)  Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BANDAR CHENEH BARU - Seorang pelajar maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Felda Neram 2 - Cheneh, di sini, semalam.
  • REMBAU - Seorang penunggang motorsikal maut selepas terbabit dalam nahas di kilometer 235.7, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), di sini, awal pagi tadi.
  • BANDAR BAHARU - Tiga maut termasuk bayi berusia enam bulan yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah sebuah kereta dan lori di jalan Kampung Batu 12, Terap, 12.15, tengahari tadi.
  • TANJONG KARANG - Jenazah empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan di kilometer 43 Jalan Klang - Teluk Intan, berhampiran Taman Air Manis, Sabak Bernam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Lorong 7, Parit 1, Sungai Sireh, Tanjong Karang.