• Lelaki maut ditetak Datuk Osman Salleh (tengah) menunjukkan gambar tiga suspek yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan antara dua kumpulan di Tampin- Foto Bernam
  • Lelaki maut ditetak Mayat lelaki yang mati dibunuh berhubung kejadian pergaduhan antara dua kumpulan di Tampin malam tadi di bawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat.- Foto Bernama
1 /

[DIKEMAS KINI] SEREMBAN – Seorang lelaki maut dan tiga lagi cedera dalam serangan oleh sekumpulan lelaki di tiga lokasi berasingan termasuk di hadapan Hospital Tampin, malam tadi.

Lelaki yang diserang di hadapan hospital parah ditetak sekumpulan lelaki yang bersenjatakan parang. Mangsa ditetak di kepala, tangan dan leher.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, individu terbabit juga dipercayai terlibat dalam dua kejadian cubaan membunuh di Taman Bukit Tampin dan di pusat mencuci kereta di Repah.

“Disebabkan dendam lama, dua lelaki cedera parah, seorang cedera ringan manakala seorang lagi maut, apabila terlibat dalam satu pertelingkahan yang berlaku di tiga lokasi berasingan di sekitar Tampin.

“Susulan kejadian ini, polis giat memburu tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kes tetak dan bunuh berkenaan," katanya.

Menurutnya, S Sandramogan, 35; S Vatu Malai Devar, 27 dan G Punithan, 24, diperlukan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang lelaki di Taman Bukit Tampin yang diserang menggunakan parang sehingga mendatangkan kematian.

Katanya, dalam tiga insiden berasingan, ketiga-tiga suspek ini dipercayai terlibat dalam kes tetak dan bunuh yang berlaku sekitar jam 10.30 hingga 11.30 malam tadi.

“Bagi kejadian pertama pada 19 September kira-kira jam 10.30 malam, mangsa berumur 16 tahun didatangi 15 lelaki bermotosikal semasa berada di kawasan cuci kereta di Repah, Tampin.

“Sebaik sahaja menyedari kumpulan bermotor ini, mangsa terus melarikan diri di rumah neneknya yang berdekatan, namun sempat dipukul tiga individu yang mengejarnya dengan menggunakan topi keledar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid.

Osman berkata, akibat hentakan itu, mangsa dilaporkan cedera parah di tangan, manakala rakannya yang berada di tempat cuci kereta itu mengalami cedera ringan.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Dalam kejadian berasingan, pada jam 11.15 malam, sepasang suami isteri yang ketika itu berada di rumah mereka di Taman Bukit Tampin, diserang tiga lelaki menggunakan parang," katanya.

Menurutnya, mangsa, B Sivabalum, 42, disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala, bahu dan tangan. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 kerana membunuh.

“Manakala bagi kejadian ketiga, kira-kira jam 11.30 malam, seorang lelaki yang ketika itu berada di dalam hospital, ditetak sekumpulan lelaki menggunakan parang.

“Akibat tetakan itu, mangsa parah di kepala, tangan dan leher tetapi dilaporkan stabil. Kes disiasat bawah Seksyen 362 Kanun Keseksaan,” katanya.
Darah memercik ke dinding

Seorang saksi kejadian di Taman Bukit Tampin, yang juga jiran mangsa dan mahu dikenali sebagai Ahmad, 40-an berkata, dia terkejut mendengar bunyi pekikan luar biasa dan tangisan berpanjangan.

"Saya bergegas keluar rumah dan ketika itu sempat melihat sebuah kereta dan sebuah motosikal meninggalkan rumah mangsa.

"Lebih terkejut lagi apabila saya lihat darah memercik ke dinding dan saya lihat mangsa turut berlumuran darah," katanya.

Anak mendiang, S Mananegalai, 15, berkata, dia dan ibunya, M Ananda Bala Saraswathi serta seorang lagi adik lelakinya berada di dalam kereta di hadapan rumah untuk menunggu ayahnya pulang dari Hospital Tampin.

"Namun, sebaik sahaja ayah turun daripada motosikal, muncul dua lelaki menaiki motosikal dan bersenjatakan parang menyerang ayah tanpa belas kasihan.

"Kami yang berada dalam kereta sangat takut dan tidak dapat buat apa-apa untuk tolong ayah. Kami juga kunci pintu kereta kerana bimbang dicederakan," katanya.