SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), telah menerima senarai nama serta butiran peribadi pemain bola sepak negara serta pegawai berkaitan di dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yang terkait dengan dakwaan salah laku.

Menurut kenyataan SPRM, senarai itu telah diserah sendiri oleh Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semasa kunjungan pimpinan tertinggi SPRM ke atas baginda semalam.

"Sewaktu pertemuan itu juga, pihak SPRM telah menerima senarai nama serta butiran peribadi pemain-pemain bola sepak negara, para pengadil perlawanan, pegawai pasukan termasuk juga kakitangan di dalam FAM, bagi tujuan dijalankan pemantauan yang rapi oleh pihak SPRM," kata SPRM dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru SPRM menyatakan komitmen penuh mereka untuk memastikan sukan bola sepak di negara ini bebas daripada anasir rasuah dan salah guna kuasa.

"SPRM sesungguhnya amat menyanjung tinggi sokongan penuh serta komitmen berterusan  Tunku Mahkota Johor kepada SPRM dalam memerangi dan menghapuskan jenayah rasuah dan salahguna kuasa di negara ini, amnya, dan di dalam arena pembangunan sukan bola sepak negara, khususnya.

SPRM berkata, pertemuan malam semalam dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM; Datuk Azam Baki dan Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias. 

Turut hadir, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.