SHAH ALAM - Polis giat mengesan suspek yang terlibat dalam samun tujuh dulang barang kemas bernilai kira-kira RM1.2 juta di sebuah kedai emas di sebuah pusat beli belah di Seksyen 14, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, siasatan masih dijalankan dengan meneliti banyak sudut.

“Setakat ini tiada lagi tangkapan dibuat dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan.

“Siasatan juga termasuk mengesan sama ada kesemua suspek ini masih berada di dalam negara atau tidak,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, tiga lelaki yang berpakaian gelap serta memakai topi keledar penuh, dilihat memasuki premis rangkaian kedai emas terkenal itu sebelum melepaskan sedas tembakan ke arah siling.

Manakala, seorang lagi rakan suspek berada di luar premis.

Dengan menggunakan tukul, suspek memecahkan cermin meja pameran dalam kedai berkenaan sebelum melarikan barang kemas dalam tujuh dulang dari kedai ini. Mereka mengambil masa antara tiga hingga tujuh minit.

Siasatan awal mendapati suspek menggunakan sepucuk pistol jenis revolver.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :