KUALA LUMPUR - Saintis terkemuka Australia dari Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO)  yakin bahawa pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang kemungkinan besar berada di utara zon pencarian sebenar.

Saintis penyelidikan utama CSIRO Dr David Griffin berkata dapatan laporan terbaharu itu menyokong kesimpulan kawasan pencarian baharu yang dikenal pasti oleh First Principles Review, yang dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia  (ATSB),  agensi utama bagi pencarian MH370 pada Disember tahun lepas.

"Ia menunjukkan bahawa lokasi yang kemungkinan besar bagi MH370 ialah di kawasan pencarian baharu yang dikenal pasti dan disyorkan oleh Laporan First Principles Review, dan kemungkinan besar di hujung selatan, dekat 35 darjah selatan.

"Kita tidak boleh pasti sepenuhnya tetapi di situlah semua petunjuk kita menjurus kepadanya dan usaha baharu ini memberi lebih keyakinan dalam pencarian kita," kata Dr Griffin dalam laporan yang dimuatnaik dalam laman web Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) hari ini.

Laporan First Principles Review mengenal pasti kawasan seluas kira-kira 25,000 persegi di utara kawasan pencarian asal sebagai kawasan dengan kebarangkalian tertinggi menemukan bangkai pesawat tersebut.

MH370 hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur bersama 239 orang yang berada dalam pesawat pada 8 Mac, 2014. Laluan penerbangan akhir MH370 dipercayai ialah di selatan lautan Hindi.

Dalam ujian terkini, Dr Griffin berkata laporan terbaharu itu menampilkan data dan analisis daripada pengujian di samudera terhadap flaperon Boeing 777  yang asli - sebahagian daripada sayap pesawat yang menambah tahap kepastian tambahan pada penemuan dari hasil model penyimpangan sebelumnya.

Pengujian itu mahu memastikan jika flaperon yang asli hanyut lurus melawan arah angin seperti replika atau berada pada sudut, dan tahap kelajuannya  merentasi air.

"Kami mendapati  bahawa flaperon asli hanyut kira-kira 20 darjah ke kiri, dan lebih pantas daripada replika, seperti yang kami fikir ia berkemungkinan. Penemuan flaperon MH370' di Pulau La Reunion pada Julai 2015 sekarang baru masuk akal," kata beliau.

Menurut beliau, adalah penting untuk mengetahui bagaimana flaperon dan serpihan lain MH370,  yang ditemukan, merespon kepada angin, ombak dan arus Lautan Hindi.

"Kami menambah kedua-duanya (angin dan ombak) secara bersamaan pada model untuk mensimulasikan bagaimana ia hanyut melintasi lautan, kemudian membandingkan hasilnya dengan pengamatan yang serpihan ditemukan dan tidak ditemukan untuk merungkaikan mengenai lokasi pesawat," kata beliau. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :