PENDANG - Sekurang-kurangnya 10 buah rumah dan sebuah sekolah rendah di Kampung Alor Besar di sini mengalami kerosakan teruk setelah dilanda puting beliung kira-kira 4.30 petang tadi.
    
Jurucakap Polis Daerah Pendang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
   
Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
    
"Jumlah kerosakan masih dalam siasatan," katanya.
    
Seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pendang, Ishak Omar, berkata kejadian itu melibatkan kerosakan harta benda yang teruk.
    
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Alor Besar berkata pusaran angin itu yang tiba-tiba datang dari arah utara menyebabkan penduduk kampung bertempiaran lari menyelamatkan diri.
   
Mohd Hafiz Abu Bakar, 31, berkata beliau sedang bekerja di sawah di belakang rumahnya ketika ternampak puting beliung menghala ke arah rumahnya.
    
Sejurus itu, beliau nampak bumbung rumah berterbangan di udara dan terus bergegas pulang ke rumahnya bagi menyelamatkan isteri, Noor Rusila Aziz, 24, dan dua anaknya Mohamad Irfan, 2, dan Nur Aisyah Dayana yang berusia empat bulan.
    
"Bila sampai rumah saya tengok bumbung rumah dan dinding rosak teruk dipukul puting beliung. Saya syukur sebab isteri dan dua anak selamat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.
    
Mohd Hafiz berkata akibat kejadian itu, hampir 90 peratus rumah dua tingkatnya, yang sebahagian batu dan sebahagian papan, rosak teruk selain kesemua barangan dalam rumahnya termasuk perabut dan barangan elektrik rosak dihempap serpihan kayu.
   
Beliau menganggarkan kerugian kira-kira RM50,000.
   
Noor Rusila pula berkata ketika kejadian, beliau dan dua anaknya berada di dalam bilik sebelum terdengar bunyi deruman angin kuat.
    
"Saya tak berani nak keluar rumah sebab takut. Saya duduk dalam bilik dengan dua anak dan berserah kepada Allah swt dengan apa yang berlaku," katanya.
    
Mohd Hafiz dan keluarganya kini menetap di rumah ibu bapanya yang terletak berhampiran rumah mereka.
    
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Alor Besar Norzizan Jaafar berkata kejadian itu berlaku kira-kira 20 minit menyebabkan orang ramai lari lari menyelamat diri.
    
"Ini merupakan  kali pertama  puting beliung berlaku di sini. Sekolah Kebangsaan Alor Besar rosak. Banyak rumah yang mengalami kerosakan teruk dengan hampir kesemua bumbung diterbangkan angin selain ada rumah dihempap pokok tumbang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - [Dikemaskini] Sekurang-kurangnya 25 buah rumah dan empat rumah kedai di Kampung Sungai Nonang, Simpang Empat Kangkung dekat sini rosak akibat dilanda puting beliung petang tadi.
  • ALOR SETAR - "Saya, anak saya dan beberapa orang jiran berpaut pada tiang rumah saya agar kami tidak ditolak pusaran angin kuat," demikian kata seorang penduduk Kampung Mergong Hilir yang mengalami kejadian angin puting beliung yang melanda beberapa kawasan di Daerah Kota Setar petang semalam.
  • ALOR SETAR - Tiga cedera, manakala lebih 35 rumah rosak selepas angin kuat melanda tiga kawasan di daerah Kota Setar, petang tadi. Dua daripada tiga mangsa yang cedera adalah dari...
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.