KUALA LUMPUR - Pusat tahfiz yang terbakar di Keramat di sini hari ini tidak  memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan selain telah diubah suai daripada struktur asal, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat ada menerima permohonan sijil perakuan berkenaan  daripada pihak pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung bulan lepas, namun masih belum diluluskan.

"Mengikut pelan asal bangunan itu, ia berkonsep terbuka, tetapi telah dibina tembok dan tidak ikut pelan asal.

"Bangunan ini juga belum ada kebenaran untuk beroperasi daripada pihak bomba," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di sini hari ini.

Kebakaran awal pagi itu meragut nyawa 22 pelajar tahfiz dan dua guru tahfiz.

Noh berkata dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, hampir 29 kes kebakaran melibatkan sekolah tahfiz berlaku di seluruh negara.

"Kebanyakan (bangunan) tahfiz ini tidak mengikut peraturan,” katanya.

Beliau berkata pengusaha sekolah tahfiz harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan sentiasa mengutamakan keselamatan para pelajar.

Beliau meminta pengusaha tahfiz agar mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihaknya untuk memastikan tahfiz yang beroperasi mematuhi syarat yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata bomba menerima pelan reka bentuk bagi pembinaan bangunan pusat tahfiz berkenaan pada 2015 dan telah memberikan pandangan mengenai kelengkapan kebakaran yang perlu ada.

"Dari segi pelan reka bentuk memang okey. Ada dua tangga dan merupakan satu asrama jenis terbuka," katanya.

Beliau berkata pengusaha pusat pengajian sepatutnya perlu menghantar pelan Mekanikal dan Kejuruteraan (MNE) untuk diluluskan pihak bomba, sebelum membina bangunan tersebut.

"Apabila siap, kena panggil bomba untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan semua keperluan kita nyatakan dipatuhi. Tetapi dalam kes ini, bangunan itu telah disiapkan dan diduduki walaupun tanpa kelulusan pelan MNE dan pemeriksaan bomba.

"Selain itu, mereka pula buat ubah suai dalaman dengan menambah pembahagi (partition) dan menutup satu laluan keluar," katanya.

Beliau berkata susunan katil yang terlalu rapat juga merupakan antara punca mangsa sukar untuk menyelamatkan diri. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Dua orang mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini yang sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dijangka dibenarkan pulang esok.
  • PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah memeriksa lebih 200 pusat tahfiz di seluruh negara, susulan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, 14 September lalu.
  • KUALA LUMPUR - Bangunan baharu Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung akan dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang mendapat kelulusan pihak Bomba dan turut mempunyai 24 kamera litar tertutup (CCTV).
  • KUALA LUMPUR - Selepas dua minggu tragedi kebakaran menyayat hati di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah yang mengorbankan nyawa 21 pelajar dan dua guru, hari ini lima remaja dan seorang kanak-kanak dihadapkan ke muka pengadilan.
  • KUALA LUMPUR - Dua remaja dihadapkan di Mahkamah Majistret sebentar tadi atas tuduhan membunuh 23 individu dalam kebakaran pusat tahfiz Quran Ittifaqiyah.