KUALA LUMPUR - Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat melarikan seorang wanita di sebuah kafe di pusat membeli belah di Setapak, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua mereka berusia antara 34 hingga 54 tahun.

Menurutnya, penahanan dibuat bermula kira-kira jam 1 pagi tadi di Batu Caves dan Kinrara di Selangor serta Nilai, Negeri Sembilan.

"Semakan telah dibuat dapati kesemua suspek bekerja sendiri dan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Rusdi turut menjelaskan bahawa pihaknya juga akan mengambil keterangan terhadap individu yang menyewakan kereta kepada suspek.

Katanya, kes akan disiasat mengikut mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, seorang wanita berusia 26 tahun berdepan detik cemas apabila dilarikan tiga lelaki menaiki Toyota Alphard ketika sedang menunggu seseorang bagi urusan perniagaan.

Mangsa bagaimanapun dibebaskan di satu kawasan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pada pukul 5.30 petang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Polis menumpaskan kumpulan penculik yang didalangi polis bantuan dengan tertangkapnya seramai 29 individu termasuk lima wanita dalam serbuan berasingan sejak 3 Januari hingga 31 Januari lalu.
  • KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan tiga anggota polis membela diri atas pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ empat tahun lepas.
  • ALOR SETAR - Polis menahan seorang lelaki warga Thailand yang disyaki ada kaitan dengan kes melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun bersama kereta bapanya di sebuah stesen minyak di Taman Mahsuri di Jitra, tiga hari lepas.
  • SHAH ALAM - Seorang lelaki dilapor terperangkap dalam kejadian di tingkat satu sebuah bangunan di Taman TTDI Jaya, dekat sini, hari ini.
  • SEREMBAN - Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Port Dickson dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, hari ini, atas dakwaan menculik dan melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun.