KUALA LUMPUR - Polis mencadangkan agar bank mewujudkan satu sistem pusat kawalan utama untuk memantau setiap mesin pengeluaran wang tunai (ATM) di seluruh negara bagi mengesan sebarang kegiatan yang tidak diingini termasuk cubaan merompak dan melarikan mesin berkenaan. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata sistem pusat kawalan itu berfungsi sebagai pemantau agar sebarang maklumat terutamanya berkaitan aktiviti melarikan mesin ATM dapat disalurkan terus kepada polis. 

“Saya sarankan kepada pihak bank di seluruh negara supaya wujudkan sistem seperti ini bagi memastikan maklumat berkenaan dapat dikesan dengan lebih awal seterusnya disampaikan terus kepada pihak polis pada kadar yang lebih cepat dan membolehkan polis bertindak pantas,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 

Katanya, kajian awal polis mendapati pemasangan mesin ATM di lokasi terbuka memudahkan penjenayah melarikan mesin atau merompaknya tanpa disedari oleh pihak bank atau pihak pengawal keselamatan dan boleh  mendatangkan risiko kepada pengguna. 

“Mesin ATM yang ditempatkan di lokasi-lokasi terbuka sememangnya bertujuan untuk memudahkan pengguna tetapi aspek keselamatan juga haruslah ditekankan bagi memastikan kejadian mesin ATM dilarikan dapat dielakkan.     -- 
 
“Kejadian seperti ini juga berlaku apabila terlalu banyak mesin ATM diletakkan di tempat terbuka dengan kekurangan kawalan keselamatan sekaligus membuka peluang kepada penjenayah dan mendorong mereka untuk melakukan jenayah sama ada menyamun pengguna selepas mengeluarkan wang ataupun melarikan mesin ATM,” katanya.

Beliau berkata ciri-ciri keselamatan pada mesin-mesin ATM yang diletakkan di sesebuah lokasi perlu dipertingkatkan bagi mengelak kejadian cubaan melarikan mesin ATM tidak terus berulang.

“Mungkin perlu adanya loceng penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) yang berfungsi atau mungkin juga perlu melihat keperluan untuk menempatkan pengawal keselamatan di mesin-mesin berkenaan untuk kukuhkan lagi kawalan keselamatan," katanya. 

Disamping itu, beliau berkata lokasi juga memainkan peranan dalam menentukan ciri-ciri keselamatan, sebagai contoh sekiranya lokasi tersebut tidak sesuai untuk menempatkan mesin berkenaan, lokasi yang lebih sesuai dan selamat dengan aspek keselamatan yang lebih tinggi haruslah dipilih.    

Bakri berkata selain itu satu perjumpaan juga boleh diadakan di antara polis dan pihak bank bagi mengenal pasti ciri-ciri keselamatan untuk mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian. 

“Perjumpaan seperti ini juga mungkin kita boleh lihat bagaimana polis dapat membantu disamping melihat bagaimana cara untuk kurangkan ruang kepada penjenayah dari melakukan jenayah seperti ini.

Dalam tempoh tiga minggu lepas, empat kes kecurian mesin ATM dilaporkan di sekitar Lembah Klang, Sepang dan Balakong. 

Jumaat lepas, sebuah mesin ATM yang mengandungi wang sebanyak RM37,520 dilarikan sekumpulan penjenayah dengan hanya menggunakan tali sebelum ditarik keluar dan dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan dalam kejadian pukul 3.20 pagi di sebuah bangunan di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. 

Pada 25 Mei lepas, sebuah mesin ATM dilarikan daripada sebuah kompleks membeli-belah di Balakong dekat sini, dengan nilai RM200,000.    

Sehari kemudian, sebuah mesin ATM di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti pula dilarikan dengan nilai kerugian lebih RM61,000.

Sementara itu, pada 28 Mei lepas, sekumpulan penjenayah berputih mata apabila usaha memecah mesin teler automatik (ATM) di sebuah pasar raya di Pantai Dalam, terbantut setelah loceng penggera keselamatan pasar raya itu  berbunyi dalam kejadian pukul 11 malam.

Tinjauan Bernama mendapati pelbagai bank menyediakan perkhidmatan ATM di lokasi terbuka termasuk kawasan tumpuan umum iaitu di kawasan pejabat, di pasar raya, kompleks beli-belah, stesen LRT, kedai serbaneka beroperasi 24 jam, dan di lot-lot kedai.-- Bernama