KUANTAN - Polis sedang mencari individu bagi membantu siasatan kes bunuh suri rumah yang ditemui mati ditikam dalam kejadian samun di Kampung Hijrah, Penor  pada 29 September lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, pihak polis sedang mencari individu bernama Ibrahim Mohd Isa, 41, beralamat di Kampung Galing, Jalan Beserah.

Menurutnya, individu itu dikehendaki polis untuk membantu siasatan kes bunuh berkenaan.

“Hasil siasatan yang dijalankan, pihak polis mengenal pasti motif pembunuhan kemungkinan besar bersabit dengan perniagaan atau hutang antara individu berkenaan dengan suami mangsa.

“Malah individu tersebut adalah orang dikenali keluarga mangsa,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Kontinjen Polis (IPK) Pahang, hari ini.

Rosli berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu itu diharap dapat menyalurkan info kepada pihak polis.

Dalam kejadian pada 29 September lalu, seorang suri rumah, mayat Norhasilah Ismail, 34, ditemui oleh suaminya, Nasrul Mansor, 32, yang baharu pulang mengambil dua anaknya dari sekolah kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Mayat Norhasilah ditemui mati ditikam dalam satu kejadian samun di kediamannya.

Mangsa bersama dengan anak lelakinya yang berusia empat tahun dan dipercayai diserang seorang lelaki yang berada dalam rumah, berlaku pergelutan sebelum mangsa ditikam di bahagian kanan perut dan kiri dada menyebabkannya meninggal dunia.

Anak mangsa tidak dicederakan dan dikurung di sebuah bilik di rumah, dia ditemui oleh abangnya yang berusia lapan tahun.

Ketika kejadian, suami mangsa tidak berada di rumah kerana keluar bekerja awal pagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seramai 63 pegawai dan anggota polis wanita menunjukkan kehebatan dalam kawalan kehormat pada perhimpunan bulanan kali ini.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA ROMPIN - Mengakui menghayati sebuah novel kisah cinta tiga segi dan sanggup melakukan apa sahaja demi kekasihnya, seorang lelaki warga tempatan berdepan hukuman gantung sampai mati selepas menembak suami kepada kekasihnya.
  • PUTRAJAYA - Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun tidak menolak bahawa lebih ramai individu akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semasa menjalani latihan fizikal di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi di Sitiawan, Jumaat lepas.
  • SHAH ALAM - Seorang lelaki Indonesia yang disyaki terbabit dalam kes bunuh membabitkan seorang warga Pakistan awal bulan ini ditahan di Seksyen 16 di sini, Selasa lepas.
  • SANDAKAN - Polis Sandakan sedang mengesan dua saksi bagi perbicaraan satu kes bunuh di Mahkamah Tinggi Sandakan pada 25 September ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.