AUTA

BEBERAPA gambar tersebar di media sosial mengenai produk makanan sejuk beku, Dr Oetker Ristorante Hawaii Pizza yang didakwa mengandungi daging babi, namun dalam masa sama mempunyai logo halal.

Gambar pertama tertera jenis piza iaitu Dr Oetker Ristorante Hawaii Pizza.

Gambar kedua pula menunjukkan fokus pada kandungan yang mengandungi daging babi.

Gambar ketiga pula, menunjukkan bahagian tertera pengedar sejuk beku Pok Brothers Sdn Bhd yang diedarkan di Malaysia dan mempunyai logo halal antarabangsa.

Tiga keping gambar itu menimbulkan pelbagai reaksi kepada rakyat negara ini yang beranggapan gambar itu daripada produk yang sama.


FAKTA

SHAH ALAM - Syarikat Pok Brothers Sdn Bhd, iaitu pengedar dan pembekal makanan sejuk beku di Malaysia memaklumkan, produk Dr Oetker Ristorante Hawaii Pizza yang mengandungi daging babi tidak diedarkan di negara ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Alan Pok berkata, setakat ini syarikat itu hanya mengedarkan enam jenis piza sahaja daripada produk Dr Oetker Ristorante yang bukan berasaskan daging.

“Tidak wujud pun, piza itu di mana-mana pasar raya di negara ini kerana kita memang tidak membenarkan piza jenis itu memasuki Malaysia.

“Kita mengedarkan piza berasaskan keju, tuna dan sayuran sahaja," katanya semasa ditemui Sinar Harian di pejabatnya, semalam.

Mengulas lanjut, Pok berkata, semua kandungan produk itu dipantau sendiri oleh Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Produk kita ada logo halal antarabangsa yang diiktiraf oleh Jakim. Minggu lalu juga, Jakim telah datang sendiri ke syarikat kami untuk melihat sendiri produk piza kami selepas penyebaran gambar viral tersebut. Memang kami tidak ada produk Hawaii Pizza itu.

"Seperti dalam viral tersebut, gambar yang diambil tidak secara menyeluruh. Gambar seperti fokus di bahagian tertentu sahaja yang diambil dari kotak berasingan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLANG - Northport (Malaysia) Bhd memaklumkan tidak pernah mengaktifkan siren amaran banjir seperti yang tular di media sosial sejak semalam.
  • TERSEBAR di media sosial gambar daging yang mempunyai gelembung berwarna putih dan dikatakan telah dijangkiti kuman tuberculosis bovis.
  • SEJAK beberapa hari lalu, kecoh di Facebook mengenai video yang mendakwa sebuah pasar raya besar di sekitar Shah Alam menjual daging ayam yang tidak disembelih.
  • GAMBAR seorang pemilik kereta Ferrari dikatakan bersikap zuhud dengan mencuci tandas masjid di Subang Jaya, setiap pagi selepas solat duha, yang tersebar sejak petang kelmarin, mengundang pelbagai reaksi netizen.
  • KADAR bayaran kompaun yang dikenakan kepada pengguna kenderaan yang lewat memperbaharui lesen memandu yang telah tamat tempoh kini kembali tular menerusi aplikasi WhatsApp.