SEPANG - Penderitaan pelarian etnik Rohingya terus mendapat perhatian dunia.

Mereka yang dinafikan hak di bumi sendiri terpaksa mencari tempat perlindungan daripada terus menjadi mangsa kekejaman kerajaan Myanmar.

Menagih simpati negara lain, kebanyakan etnik Rohingya kini 'berkampung' di bumi Bangladesh.

Berada di kem pelarian, banyak yang mereka mahukan, bukan hanya perlindungan.

"Mereka kini benar-benar dalam keadaan terdesak. Demi mendapatkan makanan, mereka terpaksa memijak antara satu sama lain.

"Ini kerana bekalan yang dibawa tidak dapat menampung pelarian-pelarian ini yang sudah mencecah 300,000 orang," demikian NGO Pas Relief yang baru tiba di KLIA dari Bangladesh dalam misi bantuan kemanusiaan di sana.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setiap hari jumlah pelarian akan bertambah dan ini menyukarkan keadaan di kem tersebut yang semakin padat.

"Keadaan di Myanmar semakin teruk. Setiap hari berlaku kekejaman di sana, kerana itu mereka lari ke Bangladesh.

"Pelarian ini akan berjalan kaki sekurang-kurangnya 10 hari dan dalam tempoh itu mereka memang sangat lapar," katanya.

Dengan dana RM150,000, PasRelief menyediakan bantuan 1,050 bungkusan makanan untuk diberikan kepada 1,050 keluarga, membina 15 tandas dan 55 tiub untuk bekalan air bersih.

"Kami berharap akan ada bantuan berterusan memandangkan jumlah semakin ramai.

"Kalau ada yang sudi membantu lagi, kami akan ke sana lagi pada bulan hadapan," katanya.

Misi PasRelief ini turut disertai dua lagi ahli Pas iaitu Ketua Penerangan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Mohd Shahir Abu Hassan dan Timbalan Yang Dipertua Pas Pendang, Awang Salahuddin Hashim.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan majlis pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya dan lawatan delegasi khas ke Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
  • KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melatih pegawai perubatan termasuk doktor daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan fasiliti di hospital medan yang akan ditempatkan di kem pelarian etnik Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh.
  • TAIPING - Bayi lelaki warga Rohingya berusia sebulan antara 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi ke atas dua tapak pembinaan oleh Jabatan Imigresen di sini, malam tadi.
  • PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia dinasihat menangguhkan perjalanan yang tidak perlu disegerakan ke negeri Rakhine, Myanmar susulan kejadian keganasan yang semakin memuncak, menurut Kementerian Luar.