KUALA LUMPUR - Pesawat Charlie C-130 dan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang dinaik taraf bagi melengkapkan kedua-dua aset itu dengan peralatan dan teknologi lebih canggih.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, proses tambah baik aset pertahanan negara itu dilakukan secara berterusan bagi memastikannya selamat digunakan setiap masa.

Malah, katanya peruntukan bagi melengkapkan kedua-dua aset milik TUDM itu dengan peralatan dan teknologi lebih canggih, termasuk di bawah Bajet 2018 yang dibentangkan pada 27 Oktober lepas.

Justeru, katanya adalah tidak wajar untuk menggesa kerajaan menghentikan operasi pesawat berkenaan hanya disebabkan beberapa insiden yang tidak dapat dielak.

“Aset-aset pertahanan kerajaan sentiasa diberi perhatian dan penyelenggaraan...sememangnya sudah ada peruntukan untuk itu,” katanya kepada sidang media selepas meninjau Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0, di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden pesawat angkut C-140 milik TUDM yang membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan semalam, selepas menghadapi masalah kekaki pesawat 'landing gear' dalam kejadian kira-kira 5.15 petang semalam. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :