KUALA LUMPUR - Gara-gara bergaduh dan bertengkar dengan jiran wanitanya, seorang pesara juruteknik didenda RM400 atau satu bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Nah Swee Kiat, 60, selepas tertuduh mengaku bersalah mengganggu ketenteraman awam dengan bergaduh di tempat awam.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan pondok pengawal Pangsapuri Riviera, Taman Muda, di sini pada 5.40 petang, 13 Julai lepas mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda sehingga RM1,000 atau dengan kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah bertengkar dengan jirannya yang juga seorang  surirumah dengan mengeluarkan perkataan kesat di hadapan pangsapuri dan pergaduhan itu berlanjutan hingga ke hadapan pondok pengawal pangsapuri.

Selepas pergaduhan tertuduh dan wanita itu masing-masing membuat laporan polis dan hasil siasatan mendapati kedua-duanya telah bergaduh dan mengganggu ketenteraman awam.

Ketika rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia sudah bersara dan perlu menanggung keluarga termasuk seorang anak.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atau denda yang tinggi bagi memberi pengajaran kepada tertuduh, mengambil kira perbuatan itu adalah serius yang mana sesuatu pergaduhan di tempat  awam jika tidak dihalang akan turut memudaratkan orang awam.

Di Mahkamah Majistret berasingan, wanita itu Leong Lai Van, 53, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama, di tempat, waktu dan tarikh sama mengikut seksyen sama.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak menawarkan wang jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia hanya seorang suri rumah.

Majistret Haslinda A. Raof membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Sept untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :