SHAH ALAM - Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menghala ke Subang Jaya maut selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 31.6 Lebuhraya Persekutuan, awal pagi tadi.

Difahamkan dalam kejadian jam 3 pagi itu, tangan mangsa, Fuad Wadduddin, 23, yang menunggang motosikal bersendirian juga hampir putus.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Deputi Superintenden Azmi Mansor berkata, mangsa berkemungkinan gagal mengawal motosikalnya jenis Yahama R6, lalu terbabas di tengah jalan sebelum merempuh penghadang jalan.

“Mangsa tercampak ke arah bertentangan jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Insiden ngeri itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk di kaki dan tangannya hampir putus," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa tidak ikut laluan motosikal di lebuh raya berkenaan dan pihaknya meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.