KUALA PILAH - Seorang penunggang motosikal maut setelah tercampak di laluan bertentangan lalu terperosok di bawah sebuah bas henti-henti di kilometer 5 Jalan Kuala Pilah- Batu Kikir, berhampiran Masjid Kariah Kuala Jemapoh, hari ini.

Kejadian berlaku jam 12.15 tengahari itu telah mengorbankan mangsa, Mohammad Iqzuan Mohammad Radzmy, 19 tahun beralamat di Taman Pemarak Tanjung Ipoh.

Mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha EX5 sendirian dari arah Kuala Pilah ke Batu Kikir manakala bas henti-henti itu dari arah Bahau ke Kuala Pilah.

Difahamkan, mangsa itu cuba mengelak sebuah kereta di hadapannya lalu brek secara mengejut dan akibatnya mangsa tercampak ke jalan bertentangan dan pada masa sama sebuah bas henti-henti tidak sempat mengelak mangsa.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Adnan Yaacob berkata, anggota bomba menerima panggilan kecemasan jam 12.20 tengahari dan bergegas ke lokasi.

"Setibanya di lokasi, kami mendapati mangsa telah berada di bawah bas dan kami mengarahkan pemandu bas itu supaya mengundurkan bas bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat dilakukan.

"Mangsa telah diperiksa oleh paramedik dan disahkan meninggal dunia. Kemudian mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, seramai sembilan anggota telah ke lokasi bersama sebuah jentera dan EMRS.

Difahamkan, seramai 20 penumpang bas itu selamat termasuk pemandunya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :