TANAH MERAH - Seorang penoreh getah kehilangan tiga orang kesayangan sekali gus dalam kemalangan jalan raya di Km 89, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, Batang Merbau di sini awal pagi tadi.

Sidik Awang, 60, kehilangan isteri, anak dan cucu apabila kereta Proton Saga yang dinaiki mereka bertembung dengan kereta Nissan Bluebird dalam kejadian jam 1.39 pagi.

Mereka ialah Paridah Ismail, 54, Muhamad Saiful Sidik, 17, dan Nur Assyifa Muhamad Shaharil, 3.

Yang turut terbunuh ialah pemandu Nissan Bluebird tersebut, Mohd Roza Ismail, 38.

"Saya bersama lapan anggota keluarga saya pada mulanya pergi ke Muazam Shah, Pahang untuk mengambil seorang anak saya yang baharu sahaja menamatkan pengajian di Politeknik di sana," katanya, di sini, hari ini.    

Sidik berkata, mereka bertolak dengan dua buah kereta pada Sabtu dan bertolak balik ke sini pada jam 9 pagi Ahad, sambil singgah di beberapa tempat untuk berehat dan riadah.

Menurutnya, dia bersama tiga orang anaknya menaiki kereta berasingan dan bergerak di hadapan kereta yang dinaiki isteri, anak dan cucunya itu.

"Apabila kami menyedari kereta yang dinaiki mereka tidak kelihatan di belakang kereta kami, saya lalu telefon kepada isteri saya, namun dia tidak menjawab.

"Kami lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik dan dalam perjalanan itu, saya menerima panggilan daripada salah seorang anggota keluarga saya yang lain yang menyatakan isteri saya terlibat dalam kemalangan. Kami kemudiannya terus ke hospital," katanya.

Dua anak Sidik turut cedera parah dalam kemalangan itu iaitu yang memandu kereta Proton Saga tersebut Muhamad Shaharil, 31, dan adiknya Suhaila, 23.

Kesemua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubuk Bungor, Jeli selepas solat Asar hari ini.

Sementara itu seorang saksi kejadian Zul Azman Abd Kadir, 41, berkata bersama lima rakannya sedang berada di sebuah premis mencuci kereta apabila mendengar bunyi dentuman kuat di hadapan kedai tersebut.

"Pada mulanya kami menyangka bunyi tayar lori pecah, namun terkejut apabila melihat dua kereta remuk berada di atas jalan raya kira-kira 50 meter dari kedai tersebut.

"Kami melihat beberapa mangsa dalam keadaan berlumuran darah. Penduduk kampung kemudian membantu mengeluarkan mereka sebelum dibawa dengan ambulans ke hospital," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BANDAR CHENEH BARU - Seorang pelajar maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Felda Neram 2 - Cheneh, di sini, semalam.
  • KOTA TINGGI - Kemalangan maut membabitkan empat kenderaan di Jalan Bypass Johor Bahru-Mersing berhampiran susur masuk ke Taman Daiman petang tadi mengorbankan nyawa sepasang suami isteri.
  • REMBAU - Seorang penunggang motorsikal maut selepas terbabit dalam nahas di kilometer 235.7, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), di sini, awal pagi tadi.
  • BANDAR BAHARU - Tiga maut termasuk bayi berusia enam bulan yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah sebuah kereta dan lori di jalan Kampung Batu 12, Terap, 12.15, tengahari tadi.
  • TANJONG KARANG - Jenazah empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan di kilometer 43 Jalan Klang - Teluk Intan, berhampiran Taman Air Manis, Sabak Bernam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Lorong 7, Parit 1, Sungai Sireh, Tanjong Karang.