GEORGETOWN - Seorang penjual kereta menghadapi tujuh tuduhan berkaitan termasuk satu kes bersama dua rakan termasuk wanita warga Vietnam.

Dalam pertuduhan pertama, Lee Eng Siang, 39, didakwa memiliki pil amphetamin seberat 9.6 gram mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Semakan 1980) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 A (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan sebat antara tiga hingga sembilan sebatan.

Pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki pil nimetazepam seberat 8.5 gram mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Semakan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.  Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga, Eng Siang dituduh memiliki 8.5 gram ketamin mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 (Semakan 1980) yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Eng Siang turut menghadapi dua tuduhan memiliki 4.7 gram dan 2.7 gram methaphetamine di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 (Semakan 1980) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda  tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Eng Siang dituduh melakukan kelima-lima kesalahan itu pada jam 11 malam, 20 Februari lalu di hadapan Hotel Super 8, Lebuh Tye Sin di sini.

Bagi pertuduhan keenam, Eng Siang didakwa mengambil dadah apabila ujian saringan air kencingnya positif morfin, amphetamin dan methaphetamine mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Tertuduh mengangguk selepas pertuduhan dibaca jurubahasa menandakan faham namun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Majistret Noor Aini Yusof menetapkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan dan menangguhkan kes itu sehingga 4 April ini untuk menunggu laporan kimia.

Bagi pertuduhan berasingan, Eng Siang bersama Lee Soon Theam, 45, dan Nguyen Lan, 20-an dituduh mengedar nimetazepam seberat 55 gram di di hadapan Hotel Super 8, Lebuh Tye Sin di sini, pada jam 11 malam, 20 Februari lalu.

Ketiga-tiganya dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama yang dibaca bersama-sama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman mandatori gantung sampai mati.

Pertuduhan dibaca oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Farhana Hashim.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - Lapan mayat mangsa tragedi tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini Sabtu lalu belum dituntut.
  • GEORGETOWN - Operasi mencari dan menyelamat mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini dihentikan sepenuhnya pada jam 12.05 tengah hari tadi.
  • GEORGETOWN - Mayat terakhir tragedi tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai dibawa keluar kira-kira jam 11.18 pagi tadi.
  • GEORGETOWN - Dua mayat lagi dijumpai pagi tadi menjadikan jumlah keseluruhan 11 mayat berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini.
  • GEORGETOWN - Difahamkan dua mayat lagi dijumpai pagi tadi menjadikan jumlah keseluruhan 11 mayat berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat di tempat kejadian.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.