RANTAU PANJANG - Seorang peniaga atas talian yang aktif live Facebook ditembak di betis kiri di pejabatnya di Banggol Kulim, malam tadi.

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, ketika kejadian mangsa, Mohd Irfan Abdullah, 26, berseorangan di pejabat tersebut.

Katanya, polis tidak menolak rompakan itu dirancang lebih awal, berdasarkan kepada pergerakan penjenayah melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Selepas menerima panggilan pada jam 11. 33 malam, kita bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa berada di tingkat atas premis dan terkunci dari luar pejabat, dipercayai dilakukan penjenayah terbabit.

“Kesan tembakan menyebabkan mangsa berlumuran darah dan berada dalam keadaan lemah,” katanya.

Abdullah berkata, berdasarkan siasatan awal, pihak polis turut menemui peluru 9 mm di tempat kejadian.

Katanya, menerusi rakaman CCTV mendapati, tiga lelaki bertopeng menaiki kereta kancil berwarna putih memasuki premis tersebut sebelum melepaskan tembakan.

Menurutnya, pihak polis percaya mangsa ditembak selepas diugut.

Mangsa katanya, mengalami kerugian apabila barang kemas bernilai RM 150,000 dan wang tunai sebanyak RM 80,000.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk rawatan lanjut.

“Kita memburu ketiga-tiga suspek ini namun tidak menolak kemungkinan besar mereka lari ke sempadan kerana jarak tempat kejadian terlalu dekat,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Seorang Penolong Penyelaras Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) diperintah menjalani bon berkelakuan baik oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, selepas didapati bersalah merompak seorang kakitangannya tahun lepas.
  • KOTA BHARU - Padah merompak seorang wanita, seorang buruh dihukum penjara enam tahun oleh mahkamah sesyen, di sini, tadi.
  • GUAR CHEMPEDAK - Dua pembantu sebuah farmasi di Guar Chempedak terpaksa melalui detik cemas apabila farmasi tempat mereka bekerja didatangi perompak bersenjata pisau Khamis lalu.
  • BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki diberkas polis manakala rakannya berjaya meloloskan diri selepas mereka menyamun sebuah kedai di Jalan Ooh Chooi Cheng, Bukit Mertajam di sini pagi tadi.