PULANGAN lumayan hasil jualan mercun menjadi faktor utama segelintir individu berniaga mercun biarpun menyedari perbuatan tersebut menyalahi peraturan dan boleh meragut nyawa seseorang.

Seperti pepatah, kucing mana yang menolak ikan, sesiapa pun akan kelabu mata apabila melihat keuntungan diperoleh kerana berbekalkan modal RM1,000 boleh mencecah RM10,000.

Mendekati individu yang berniaga mercun di bazar Ramadan di negeri ini, rata-rata mereka mengakui tindakan tersebut hanya bagi mencari pendapatan lebih untuk digunakan sebagai persiapan keperluan hari raya.

Malah, mereka tidak menafikan turut menjual mercun terlarang, namun bukannya secara terbuka, selain berurus niaga dalam keadaan penuh kebimbangan kerana khuatir diserbu pihak berkuasa.

Kisah peniaga di Dungun

Hanya ingin dikenali sebagai Kak Sah, ibu tunggal berusia 40-an yang sudah tiga tahun berniaga mercun ini mengakui, demi mendapatkan wang lebih dia ambil keputusan tersebut kerana berniaga barang lain, keuntungan diperoleh agak kecil.

Menurutnya, menjalankan urus niaga yang salah di sisi undang-undang bukan sekadar ibarat ‘pandai makan, pandai simpan’, tetapi juga perlu licik menghidu kehadiran pihak berkuasa.

 Kak Sah turut mengakui dia sendiri pernah beberapa kali berdepan tindakan barang jualannya dirampas.

“Rata-rata peniaga mercun seperti saya tahu kegiatan ini menyalahi undang-undang, namun demi belanja raya, kami buat juga. Untung niaga ini besar, harga sepeket mercun RM4 boleh dijual RM10, siapa yang tidak mahu?

"Setiap kali musim perayaan, Kak Sah dapat untung banyak... boleh cecah RM8,000," katanya.

Kata Kak Sah, bekalan bukan sahaja sukar diperoleh tetapi jualan juga secara bersembunyi kerana penguat kuasa melakukan kawalan ketat.

"Tahun ini hampir tiada pembekal yang tawarkan mercun dan jika ada hanya bunga api serta mercun tertentu sahaja.

“Saya cuba minta mercun popular dan mendapat permintaan tinggi seperti mercun bola, tetapi mereka tidak sanggup beri kerana tidak mahu tanggung risiko," katanya.

Menurutnya, tahun sebelum ini dia tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan stok kerana pembekal mencarinya.

Namun, rezekinya tidak lagi selumayan dahulu.

Katanya, dahulu setiap kali musim perayaan pelanggan yang sudah tahu dia menjual mercun akan cuba mencarinya untuk mendapatkan mercun yang dilarang.
Kisah peniaga Di Hulu Terengganu

"Saya tidak jual mercun bahaya, semua ini yang biasa-biasa sahaja."

Demikian antara jawapan diberikan seorang peniaga bunga api dan mercun di daerah ini tatkala diajukan pertanyaan berkaitan jenis-jenis mercun dijualnya.

Mengakui baru mula berniaga barangan berkenaan pada tahun ini, peniaga berusia sekitar 30-an dan bertutur dalam loghat tempatan ini berkata, berniaga bunga api serta mercun adalah kerja sampingan sahaja kerana dia juga menjual barangan lain di bazar Ramadan.

Menurutnya yang hanya dikenali sebagai Amin, secara kebetulan kawannya dari Kelantan menawarkan stok mercun dan bunga api.

"Disebabkan untung lumayan, tertarik untuk cuba berniaga pada hari-hari tertentu sahaja.

“Jika kesihatan tidak mengizinkan, saya berniaga bunga api ini kerana tidak larat buat persiapan jualan utama saya itu," katanya.

Kata Amin, berniaga mercun dan bunga api mudah, letak sahaja atas meja, pelanggan akan berkerumun.

"Jika berniaga makanan atau minuman, banyak yang kena buat, perlu buat persiapan dari rumah, memasak dan menyediakan keperluan," katanya.

Menurutnya, perbelanjaan untuk hari raya meningkat saban tahun disebabkan kenaikan harga barangan dan setiap tahun jugalah dia perlu berusaha untuk mendapatkan wang lebih.

“Saya hanya keluarkan modal kira-kira RM500 sahaja untuk mercun dan bunga api... kawan kata keuntungan nanti lebih sekali ganda.

"Lebih untung lagi kalau kita jual mercun yang popular seperti mercun bola atau telur," katanya.

Namun, Amin tidak sanggup menjual mercun berkenaan kerana berbahaya apatah lagi banyak kes mangsa mercun yang berlaku disebabkan mercun bola.

"Saya hanya jual bunga api dan mercun biasa seperti Pop-pop serta gasing,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Deretan gerai menjual mercun di Jalan Mergastua, Kepong, di sini, terbakar dalam kejadian kira-kira jam 11 malam tadi.
  • KUALA LUMPUR - Polis mengingatkan orang ramai untuk tidak membeli, menjual, memiliki atau bermain mercun atau bunga api ketika sambutan Tahun Baharu Cina pada 16 Februari ini.
  • KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga kakitangan sebuah pasar raya di Cheras yang menjual mercun sempena Tahun Baharu Cina kepada pelanggannya, malam tadi.
  • KUALA LUMPUR - Tiga individu cedera akibat terkena serpihan mercun jenis ‘Air Bomb’ yang dipercayai dibaling sekumpulan mat rempit di Gereja Luther Centre, Jalan Utara, Petaling Jaya tengah malam tadi.
  • KUCHING - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim hari ini melahirkan kekesalan atas kematian seorang kanak-kanak akibat bermain mercun di sini baru-baru ini dan mahu tindakan tegas diambil terhadap yang berkenaan.