JOHOR BAHRU - Seorang pengurus syarikat dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku salah memberikan rasuah RM3,000 terhadap seorang jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB), tahun lepas.

Hakim Mohd Haldar Abdul Aziz membuat keputusan itu terhadap Tan Geok Chan, 54, dan memerintahkannya dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tan, pengurus syarikat Love Heart Ice Cube Manufacturing didakwa memberikan suapan terhadap jurutera zon selatan TNB, Akmal Razman sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat itu mengikut Seksyen 37(1) dan/atau Seksyen 37(3) dan/atau Seksyen 37(14) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Dia didakwa memberikan rasuah terbabit di BV Car Wash, Jalan Datuk Abdullah Tahir, di sini, 4.30 petang, 19 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dilakukan timbalan pendakwa raya SPRM Noor Fazlin Hamdan dan tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian membayar denda terbabit.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Cubaan seorang lelaki warganegara Bangladesh berlagak hero untuk melepaskan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam aktiviti perlacuran membawa padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan rasuah.
  • JOHOR BAHRU - Kesedaran masyarakat terhadap pencegahan rasuah dan salah guna kuasa dilihat semakin meningkat berikutan peningkatan pemberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kebelakangan ini.
  • JOHOR BAHRU - Dua anggota polis berpangkat koperal tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan memperoleh rasuah, Mac tahun lalu.
  • JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan enam individu termasuk seorang kakitangan institusi kewangan selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah RM50,000 sebagai balasan menguruskan pinjaman peribadi seorang guru lelaki.
  • JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang bekas pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) Batu Pahat kerana disyaki terlibat dalam kes meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang pemilik restoran di daerah terbabit.