ALOR SETAR - Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Md Zuki Ismail, 55, kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, kira-kira jam 2 petang semalam.
 
Allahyarham dilaporkan meninggal selepas 12 hari menerima rawatan di HSB akibat komplikasi penyakit dan serangan angin ahmar Selasa lalu.
 
Difahamkan, Md Zuki dimasukkan ke HSB akibat serangan angin ahmar ketika berada dirumahnya dekat Lorong Pipit, di sini.
 
Pengerusi Mada, Datuk Othman Aziz menganggapnya sebagai satu kehilangan besar kepada Mada.
 
“Beliau adalah seorang pemimpin yang amat berdedikasi dan banyak melakarkan pendekatan berbeza bagi membawa suatu pembaharuan dalam Mada.
 
“Banyak usaha yang beliau lakukan antaranya mempelbagaikan aktiviti petani sebagai mendekatkan Mada dengan petani,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Menurutnya, Md Zuki juga merupakan antara pemimpin Mada yang amat disegani masyarakat setempat dan pegawai di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
 
“Beliau berkhidmat dengan Mada lebih 30 tahun sebelum dinaikkan pangkat kepada Pengurus Besar Mada pada Jun tahun lalu,” katanya.
 
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Lorong Pipit, di sini sebelum dibawa ke Masjid Ayer Hitam, Jerlun pada jam 6 petang untuk solat jenazah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ayer Hitam.
 
Al-Fatihah. 
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.