GEORGETOWN - Pemuda Umno Pulau Pinang membuat laporan polis berhubung kenyataan fitnah yang dikeluarkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Ogos lalu.

Ketuanya, Rafizal Abdul Rahim berkata, kenyataan Guan Eng yang menyifatkan penahanan Boon Poh sebagai haram itu didapati mencalar imej SPRM sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab menyiasat kes rasuah di negara ini.

Menurutnya, kenyataan itu juga dilihat berniat jahat dan cuba menjatuhkan kredibiliti SPRM.

"Tujuan laporan polis ini dibuat untuk meminta polis menyiasat sama ada benar kenyataan fitnah tersebut dibuat oleh Guan Eng. Jika benar, beliau patut dituduh dimahkamah kerana kenyataannya itu amat serius.

"Ia juga berniat menghasut dengan memberi gambaran bahawa SPRM tidak mempedulikan undang-undang dengan membuat penahanan yang sembarangan. Oleh itu, kita minta polis segera menyiasat perkara ini kerana kenyataannya berbaur hasutan dan tidak hanya membiarkan kes ini tanpa sebarang tindakan," katanya kepada media tadi.

Terdahulu, Rafizal bersama Naib Ketua Pemuda, Jasmin Noordin dan beberapa pemimpin Pemuda Umno Pulau Pinang membuat satu laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) kira-kira jam 2 petang.

24 Ogos lalu, dalam sidang medianya di Komtar, Guan Eng dilaporkan menyifatkan penahanan Boon Poh pada 11 Ogos lalu berhubung sebuah kilang habuk kayu haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam sebagai penahanan haram.

Sehubungan itu, SPRM dalam kenyataan meminta Guan Eng memohon maaf ke atas kenyataannya itu dan memberi tempoh 48 jam untuk permohonan maaf.

Guan Eng bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu sehingga kini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Pemuda Umno Perak, hari ini membuat laporan polis kali kedua bagi menyangkal dakwaan Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming bahawa video tular yang menunjukkan wakil rakyat itu mengeluarkan kata-kata kesat sebagai video palsu.
  • KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 6 Disember untuk mendengar permohonan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bagi mengetepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadapnya.
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghantar permohonan ke Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan persetujuan untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang enggan memohon maaf atas kenyataannya berunsur fitnah.
  • SHAH ALAM - Pengurusan Tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah secara sebulat suara memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang enggan memohon maaf atas kenyataan fitnahnya bahawa penahanan Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh sebagai “penahanan haram oleh SPRM” walaupun telah diberi satu tempoh masa untuk berbuat demikian.