KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini  bahawa arahan pembayaran bagi pelbagai program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu dikeluarkan secara bertulis dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengarah Bahagian Korporat dan Antarabangsa, Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Rashid Yaakub, 53, bagaimanapun berkata, arahan bertulis itu tidak semestinya datang dari seorang individu sahaja.

"Arahan pembayaran tidak semestinya daripada Ketua Setiausaha KBS sahaja, boleh juga dari pihak lain seperti Ketua Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan menteri KBS sendiri," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh Otman Arsahd.

Abdul Rashid, 53, berkata demikian pada perbicaraan bekas Setiausaha Bahagian Kewangan KBS Otman Arsahd, 58, yang didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta, empat tahun lepas.

Beliau yang bertugas sebagai Pengarah Kewangan MSN ketika kejadian merupakan saksi pendakwaan ke-27 pada perbicaraan itu.

Otman didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat Majlis Sukan Negara (MSN), Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil di sini, antara 28 Februari 2012 hingga 18 November 2015.

Bagi 15 tuduhan menyalahgunakan kedudukan, Otman didakwa mengarahkan Ketua Pengarah MSN untuk membuat bayaran kepada syarikat Dial Ex Sdn Bhd, milik dua anaknya berjumlah RM2,161,000 bagi pelbagai program kementerian antaranya program Futsal 2012 dan program sampingan Formula One (F1) 2013.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 17 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu, Otman dituduh memberi surat pembayaran melalui akaun kementerian kepada Pengarah Bahagian Kewangan MSN Abdul Rashid Yaakub, untuk bayaran pelbagai program kementerian kepada tiga syarikat milik rakannya berjumlah RM36,310,400.

Pertuduhan mengikut Seksyen 18 akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Amir Nasruddin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa tiada penurunan kuasa daripada Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada Setiausaha Bahagian Kewangan kementerian itu berhubung peruntukan kewangan yang disalurkan oleh Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN).
  • KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu sebarang permohonan peruntukan kewangan untuk aktiviti dan program di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Wang Amanah Sukan Negara.
  • PUTRAJAYA - Seorang pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan pengarah syarikat merupakan suspek terbaru ditahan berhubung siasatan kes sindiket penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.
  • KUALA KUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan kerajaan Malaysia gagal dalam usaha membatalkan saman RM4.7 juta berhubung kontrak untuk membina dan membangunkan kemudahan pusat sukan bermotor di kawasan Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil di sini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.