[DIKEMAS KINI] TAPAH – Seorang pemandu dan penumpang sebuah bas ekspres maut dalam kemalangan membabitkan bas dan lori di Kilometer 314.3 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, bas berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang lori.

Lima yang lain cedera parah. Mangsa yang maut ialah pemandu bas ekspres, Mohd Anuar Jantan, 42, dan penumpang bas, Abdul Rahman Noh, 59.

Insiden berkenaan menyebabkan bahagian hadapan bas remuk teruk.

Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah termasuk di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang mangsa yang merupakan pemandu lori, M.V. Saravanan, 24, berkata, bas terbabit cuba memotong lorinya namun disebabkan ada sebuah kereta di bahagian kanan, bas itu tidak sempat mengelak.

"Tiba-tiba bas muncul dari arah belakang dan langgar sisi kanan belakang lori saya dan terbabas ke bahu kiri lebuh raya.

"Ketika pelanggaran berlaku pemandu bas itu terjun daripada bas dan saya lihat dia berada di tengah-tengah bahu jalan. Kepalanya terkena besi penghadang tengah lebuh raya," katanya dipetik Bernama.

Bas ekspres itu dalam perjalanan dari Johor Baharu ke Pulau Pinang manakala lori itu dari Shah Alam menuju Pulau Pinang.

Pasukan bomba membantu mengeluarkan penumpang yang tersepit dan tercedera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw berkata bas itu dinaiki 10 penumpang dan seorang pemandu.

Katanya, pemandu dan seorang penumpang meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima cedera parah dan empat yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Manakala pemandu lori dan kelindannya, K.Subramaniam, 21, serta pemandu kereta juga tidak mengalami kecederaan.

"Mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan yang cedera menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh," katanya.
 

AKAN MENYUSUL