KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu pertimbangkan untuk memperkenalkan hukuman penjara mandatori terhadap pemandu cuai yang menyebabkan kematian penumpang atau pengguna jalan raya yang lain.

Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya  Negara Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataan hari ini berkata cadangan bagi hukuman penjara mandatori itu tepat pada masanya kerana penumpang dan orang awam terdedah kepada bahaya atas sikap cuai pemandu bas dan kenderaan berat lain.

“Dalam kemalangan terbaru, seorang pemandu bas ekspres dan  26 penumpang cedera apabila bas itu terbalik di  Km434.9 Lebuhraya PLUS (menghala ke utara ) di Rawang awal hari ini.

"Laporan awal menunjukkan dalam kejadian pada 4.50 pagi itu, bas berkenaan yang menghala ke Kuala Lumpur, dipercayai telah melanggar pembahagi jalan dan terbabas sebelum terbalik dan memasuki laluan bertentangan,” katanya.

Pada 24 Oktober, lapan pekerja kilang maut dan 44 yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan dua bas kilang dan sebuah van kilang di Km147  Lebuhraya PLUS dekat plaza tol Juru.

Pada 24 Disember tahun lepas, sebuah bas ekspres yang menghala ke utara terjatuh ke dalam gaung sedalam enam meter di Km137 Lebuh Raya PLUS mengakibatkan 14 orang terbunuh.

Lee mengambil perhatian kemalangan maut paling tragik berlaku pada 2013 apabila  37 penumpang maut dan 16 cedera dalam nahas yang berlaku dekat Tokong Chin Swee , Genting Highlands, Pahang.

"Saya percaya kita perlukan langkah radikal untuk menangani isu ini dengan menanamkan rasa takut dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam diri pemandu bahawa mereka akan dipenjarakan jika didapati bersalah memandu secara cuai.

"Kita perlu mempunyai undang-undang efektif untuk memastikan hukumannya cukup berat bagi membanteras pemanduan cuai, khususnya dalam kalangan pemandu kenderaan berat,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :