KOTA BHARU - Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun, yang tidak pulang ke rumahnya sejak semalam, ditemui lemas dalam sungai di
Kampung Pulau Belacan, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Mohamad Al Amin Muradi, dari Kampung Alor Tok Aji, Kemumin di sini dan belajar di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab Marziah Tarbiyyah Panchor, Pengkalan Chepa, dipercayai mandi di sungai berkenaan selepas pulang mengaji al-Quran, kira-kira 2 petang semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata pihaknya menerima panggilan daripada ibu mangsa, Habsah Daud, 45, kira-kira 8 pagi, yang mengesyaki anaknya hilang di sungai itu.

"Lima anggota dari Unit Skuba balai bomba itu ditugaskan mencari mangsa pada 8.30 pagi tadi sebelum menjumpai mayatnya pada 9.45 pagi.

"Mayatnya ditemui kira-kira 50 meter dari tempat dia dipercayai terjatuh," kata Nik Ahmad Afsham ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Beliau berkata mangsa dikatakan baru pulang daripada mengaji al-Quran sebelum ke sungai itu untuk mandi.

"Bagaimanapun, ibu mangsa yang bimbang kerana anaknya masih tidak pulang membuat keputusan untuk mencarinya, namun tidak berjumpa.

"Ibunya sekali lagi ke sungai itu pada waktu malam dan menemui basikal serta baju anaknya sebelum membuat laporan kepada polis dan bomba pada 8 pagi tadi," katanya.

Habsah tidak dapat ditemu bual kerana terlalu bersedih dengan kejadian yang menimpa anak tunggalnya itu.

Sementara itu, rakan ibu mangsa, Kamariah Said, 48, yang bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Hasyim II bersama Habsah, berkata ibu tunggal itu sempat menelefonnya kira-kira 10 malam semalam untuk memaklumkan mengenai kehilangan anaknya itu.

"Habsah juga meminta saya carikan bomoh sebagai ikhtiar untuk mencari anaknya itu, namun saya menjawab payah nak cari kerana hari sudah malam.

"Kira-kira 12 tengah malam tadi, saya menelefon Habsah dan dia memberitahu masih di sungai mencari Mohamad Al-Amin sebelum ke rumahnya pada 6.30 pagi tadi," katanya. - Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.