BANDAR CHENEH BARU - Seorang pelajar maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Felda Neram 2 - Cheneh, di sini, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Muhamad Afiq Iskandar Azizah, 16, yang tercampak kira-kira 10 meter daripada motosikal yang ditunggangi bersendirian meninggal dunia di lokasi kejadian.

Remaja yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheneh Baru dan berasal dari Felda Neram 2 itu cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, semasa nahas berlaku, mangsa dalam perjalanan dari arah Felda Neram 2 ke Felda Neram 1.

Muhamad Afiq Islandar tercampak kira-kira 10 meter daripada motosikalnya meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, bagaimanapun setiba di lokasi kejadian motosikal mangsa dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Myvi yang dinaiki lima sekeluarga.

"Perodua Myvi cuba mengelak tapi gagal kerana motosikal berkenaan melanggar bahagian depan sebelah kiri kereta itu.

"Pemandu Perodua Myvi yang juga kontraktor berusia 24 tahun dan empat penumpangnya berusia lapan hingga 52 tahun yang dalam perjalanan dari arah Felda Neram 1 ke Felda Neram 2 bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Menurut Mohd Said, Muhamad Afiq Iskandar yang tercampak ke kiri jalan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kemaman sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Cheneh Baru dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA TINGGI - Kemalangan maut membabitkan empat kenderaan di Jalan Bypass Johor Bahru-Mersing berhampiran susur masuk ke Taman Daiman petang tadi mengorbankan nyawa sepasang suami isteri.
  • REMBAU - Seorang penunggang motorsikal maut selepas terbabit dalam nahas di kilometer 235.7, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), di sini, awal pagi tadi.
  • BANDAR BAHARU - Tiga maut termasuk bayi berusia enam bulan yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah sebuah kereta dan lori di jalan Kampung Batu 12, Terap, 12.15, tengahari tadi.
  • TANJONG KARANG - Jenazah empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan di kilometer 43 Jalan Klang - Teluk Intan, berhampiran Taman Air Manis, Sabak Bernam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Lorong 7, Parit 1, Sungai Sireh, Tanjong Karang.