SEREMBAN - Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Port Dickson dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, hari ini, atas dakwaan menculik dan melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun.

Umar Ariffin, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan yang telah dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, G Ramesh dan Noor Hayati Mat di mahkamah berasingan.

Tertuduh didakwa menculik kanak-kanak terbabit dari rumahnya yang terletak dalam kawasan sebuah IPT di Port Dickson pada 14 Ogos lalu, kira-kira jam 3.30 pagi.

Mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 7 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak mencadangkan agar mahkamah menawarkan amaun jaminan sebanyak RM10,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Mohamad Zahid Ahmad, M Sivam dan K Mahalakshimie memohon pengurangan wang jaminan atas beberapa faktor.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan kes akan disebut semula pada 25 September depan.

Selain itu, dia turut dituduh melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak terbabit di sebuah kediaman di Bandar Springhill, Port Dickson pada 14 Ogos lalu, sekitar jam 4.45 pagi hingga 7.10 petang.

Antara tindakannya yang didakwa menyalahi Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Umar juga didakwa pernah melakukan perkara serupa kepada kanak-kanak terbabit di tepi Bangunan Jabatan Matematik, Sains dan Komputer sebuah IPT di Port Dickson pada 14 Jun lalu, sekitar jam 3 hingga 4 pagi.

Jika terbukti bersalah, tertuduh bakal berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.  

Pihak pendakwaan membantah sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh kerana mengambil kira tahap keseriusan kesalahannya dan jika jaminan masih dibenarkan, maka beberapa syarat tambahan mesti disertakan.

Antara asas hujahan Norshazwani, lokasi kediaman tertuduh serta madrasah bapanya terletak berhampiran dengan rumah kanak-kanak berkenaan.

Namun, Mohamad Zahid di pihak pembelaan memohon agar jaminan dibenarkan oleh mahkamah berikutan kesalahan dikenakan ke atas tertuduh pada masa ini hanya bersifat pertuduhan.

Selain itu, pembelajaran anak guamnya yang kini dalam semester tiga Diploma Kejuruteraan Mekanikal dikhuatiri terjejas seandainya tidak boleh diikat jamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan amaun berjumlah RM20,000 dan tarikh sebutan semula juga ditetapkan pada 25 September depan.

Sebagai syarat tambahan, Noor Hayati menetapkan supaya tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Lukut, Port Dickson pada setiap bulan.

Mahkamah akan turut menarik balik jaminan sekiranya didapati ada aduan yang menunjukkan tertuduh mengganggu kanak-kanak terbabit dan keluarganya.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Seremban, di sini, hari ini, Umar didakwa mencuri sebuah motosikal Honda Wave di tempat letak motosikal Surau Un-Nur, Bandar Springhill, Port Dickson, pada 29 Julai lalu, antara jam 7.15 petang dan 8 malam.

Dia juga didapati memiliki beberapa barang tetapi tidak dapat memberi keterangan mengenainya di sebuah kediaman di Bandar Springhill, Port Dickson pada 15 Ogos lalu, lebih kurang jam 5.45 petang.

Antara barang tersebut seperti sebuah telefon bimbit jenis Sony Xperia, beg duit warna gelap, beg kecil bercorak bendera British, beg warna ungu tertera tulisan Converse, helmet jenama X Dot, dua batang pemutar skru bermata leper, satu playar dan sebatang test pen.

Majistret, KB Elena Hong Tze Lan membenarkan tertuduh diikat jamin dengan amaun sebanyak RM3,000 bagi pertuduhan membabitkan kecurian motosikal manakala satu lagi pertuduhan pula sebanyak RM500.

Kedua-dua kes yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Soo Kok Weng itu akan disebut semula pada 21 September depan di Mahkamah Majistret Port Dickson.  

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Polis menahan seorang lelaki warga Thailand yang disyaki ada kaitan dengan kes melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun bersama kereta bapanya di sebuah stesen minyak di Taman Mahsuri di Jitra, tiga hari lepas.
  • SHAH ALAM - Seorang lelaki dilapor terperangkap dalam kejadian di tingkat satu sebuah bangunan di Taman TTDI Jaya, dekat sini, hari ini.
  • PORT DICKSON - Polis hari ini membawa dua suspek kes kehilangan seorang kanak-kanak perempuan 10 tahun di Kuarters Kakitangan Politeknik Port Dickson ke sebuah rumah di Bandar Springhill yang dipercayai lokasi mangsa disorokkan sepanjang tempoh kehilangannya, kira-kira 17 jam.
  • SEREMBAN - Dua pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dihadapkan ke Mahkamah Khas (Reman) Seremban, di sini, hari ini, berikutan dipercayai terlibat dengan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan di Kuarters Kakitangan Politeknik Port Dickson.