KUALA LUMPUR - Empat puluh lima pekerja sebuah kilang Jepun di Bandar Baru Bangi yang mendakwa diberhentikan kerja tanpa sebab sah oleh majikan mereka, hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan Jepun di sini.

M. Sivaranjani, koordinator sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili mereka, berkata majikan kilang pengeluaran barangan audio visual itu memecat 45 pekerjanya dengan notis 24 jam pada 17 Julai lepas kerana mendakwa mereka tidak bertanggungjawab.

"Saya diberitahu oleh pekerja kilang itu, majikan yang menguruskan syarikat berkenaan mendakwa telah jatuh muflis manakala kontrak pekerja ditamatkan serta-merta," katanya ketika ditemui pemberita di luar kedutaan itu di sini, hari ini.

Sivaranjani berkata kilang itu dipercayai tidak muflis kerana pekerja diminta untuk bekerja lebih masa manakala pengeluaran barangan juga berjalan lancar.

Beliau berkata para pekerja itu juga mendakwa pihak majikan mereka gagal membayar pampasan dua bulan gaji pada Mei dan Jun lalu, serta tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dari Oktober 2011 hingga Jun tahun ini.  

Sementara itu, wakil kedutaan Jepun yang menerima morandum itu bagi pihak kedutaan bagaimanapun enggan mengulas lanjut tetapi menyatakan bahawa perkara itu telah dimaklumkan kepada ibu pejabat syarikat berkenaan di Jepun. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.