KLANG - Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan seorang pekerja kilang dari pertuduhan menculik dan merogol seorang remaja bawah umur kira-kira tiga tahun lalu.

Keputusan yang dibuat Hakim, Norsharidah Awang hari ini, sekali gus menyelamatkan remaja yang berusia 21 tahun itu, daripada hukuman di bawah peruntukan Seksyen 376 dan 363 Kanun Keseksaan.

Semasa kejadian, tertuduh berusia 18 tahun manakala mangsa berusia 15 tahun.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah flat di Bandar Botanic, Klang kira-kira jam 10 malam.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan jijik itu kira-kira jam 10 malam, 25 Disember dan pertuduhan kedua pada keesokan harinya.

Dia turut dituduh menculik remaja tersebut dari sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi pada jam 6 petang.

Sebaik mendengar keputusan, tertuduh yang mengenakan kemeja putih kelihatan tenang dan tersenyum.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendawa Raya, Aimi Shazwani Sarmin manakala tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.