KUALA LUMPUR - Pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir di pejabat Felda Investment Corporation (FIC) di tingkat 4, Balai Felda, Jalan Gurney  1, di sini bagi mengambil beberapa dokumen yang boleh membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London.

Pasukan penyiasat yang dianggotai tujuh pegawai SPRM berkenaan tiba di pejabat FIC pada kira-kira jam 10.20 pagi.

Petugas media yang mendapat maklumat mengenainya berkumpul di pintu masuk utama bangunan itu sejak 9 pagi untuk membuat liputan perkembangan terkini perkara itu.

Baru-baru ini, SPRM, dalam satu kenyataan, menyatakan beberapa individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC pada 2014.

Hasil maklumat siasatan awal mendapati FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

Kenyataan itu menjelaskan individu-individu berkenaan merupakan saksi penting bagi membantu siasatan mengenai proses pembelian hotel tersebut antara 2013 hingga 2015. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa melakukan sikap dwi-standard dalam isu projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
  • KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan yang dibuat Naib Presiden Warisan, Peter Anthony berhubung ditanya tentang kekuatan parti itu ketika ditahan reman SPRM.
  • KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneruskan serbuan di beberapa lagi lokasi di Pulau Pinang berhubung isu siasatan projek terowong dasar laut bernilai RM15 bilion.
  • GEORGETOWN - Siasatan SPRM berhubung kajian terowong dasar laut di Pulau Pinang kini melibatkan proses pembidaan yang dijalankan untuk melantik syarikat bagi tujuan menjalankan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut itu.
  • KUALA LUMPUR - Sembilan individu termasuk seorang pegawai teknik Telekom Malaysia (TM) yang dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah dan salah guna kuasa antara tahun 2016 dan Mac 2017 direman selama lima hari.