KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan polis cedera diserang pembeli  nombor ekor dalam Ops Dadu Mahkota.

Sebanyak 23 serbuan dijalankan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman di Pekan Rengit, Pekan Senggarang, Pekan Sri Gading, Pekan Parit Raja, Pekan Tongkang Pecah, Pekan Seri Medan, Parit Yaani, dan Pinggiran Bandar Batu Pahat, Johor, semalam.

Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata, dalam operasi berkenaan, pegawai dari Bukit Aman berusia 56 tahun cedera di dahi akibat diserang lelaki warga Indonesia.

“Pegawai itu diserang semasa dalam usaha menangkap suspek yang sedang membeli nombor ekor.

“Akibat kecederaan itu, pegawai itu kemudian  telah mendapatkan rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.

Tambahnya, suspek kemudian telah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 186/323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.

Operasi bermula jam 5 petang itu memfokuskan kawasan perkampungan dan didapati  kegiatan penjualan nombor ekor haram berselindung di sebalik kedai telefon, kedai runcit, kedai jualan VCD dan restoran yang dipercayai telah aktif sejak satu hingga tiga tahun.

Khairi mendedahkan, dianggarkan pertaruhan  seharian mencecah RM37,900, bulanan (RM530,600) dan tahunan hingga RM6,367,200.

Dalam serbuan ini, 31 individu berusia lingkungan 33 hingga 60 tahun telah ditahan membabitkan pemilik kedai, operator judi dan pembeli.

“Seramai lapan sindiket telah didedahkan selepas terbabit mendalangi aktiviti ekor haram di daerah Batu Pahat. Siasatan AMLA dan Poca terhadap mereka yg terbabit sebagai dalang sindiket ini akan dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, beberapa barang telah dirampas antaranya, telefon bimbit, buku ramalan nombor ekor, iklan tawaran hadiah, resit, wang tunai dan sampul pelbagai warna yang mengandungi wang kemenangan pertaruhan pembelian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Polis menahan 14 individu termasuk dua wanita kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan judi dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Pendekar 17, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di sini, awal hari ini.
  • PADANG BESAR - Sebelas lelaki yang leka bermain judi belangkas di belakang sebuah rumah di Kampung Luar, Jalan Pangkas-Chuping diberkas polis, awal pagi semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.