KUALA LUMPUR - Seorang Penolong Penyelaras Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) diperintah menjalani bon berkelakuan baik oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, selepas didapati bersalah merompak seorang kakitangannya tahun lepas.

Hakim Zaman MohdNoor membuat keputusan itu terhadap Samioun Shomidon, 42, selepas mendapati pembelaannya gagal menimbulkan keraguan munasabah selepas membela diri.

Mahkamah memerintahkan bapa dua anak itu menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM2,000 dengan seorang penjamin selain turut diperintah membayar pampasan RM1,500 kepada mangsa.

"Sekiranya kamu melanggar perintah yang telah dikeluarkan, kamu akan dipanggil semula ke mahkamah untuk sabitan dan menerima hukuman mengikut peruntukan dalam pertuduhan," tegasnya.

Samioun didakwa merompak kerani kewangan, Fazilah Md Hiruddin, 35, dengan memulas leher untuk mengambil wang tunai RM24,000 di dalam pejabat MAKSAK di tingkat 3, Batu 3 1/2, Jalan Cheras di sini, pukul 10.30 pagi, pada 20 Januari 2017.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal yang mengendalikan pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira trauma dan kesan yang terpaksa dilalui oleh mangsa.

Peguam Chew Jee San yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana anak guamnya telah digantung kerja selama setahun sejak 21 Januari 2017 dan hanya dibayar separuh gaji.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Padah merompak seorang wanita, seorang buruh dihukum penjara enam tahun oleh mahkamah sesyen, di sini, tadi.
  • RANTAU PANJANG - Seorang peniaga atas talian yang aktif live Facebook ditembak di betis kiri di pejabatnya di Banggol Kulim, malam tadi.
  • GUAR CHEMPEDAK - Dua pembantu sebuah farmasi di Guar Chempedak terpaksa melalui detik cemas apabila farmasi tempat mereka bekerja didatangi perompak bersenjata pisau Khamis lalu.
  • BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki diberkas polis manakala rakannya berjaya meloloskan diri selepas mereka menyamun sebuah kedai di Jalan Ooh Chooi Cheng, Bukit Mertajam di sini pagi tadi.