• Pecah lantai garaj cari punca kejadian panas Seorang pegawai Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan/Melaka melakukan pemeriksaan di atas lantai garaj berhampiran pintu kediaman Abdul Rahman, semalam.
1 /

SEREMBAN – Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan/Melaka mencadangkan bahagian lantai garaj kediaman Abdul Rahman Gumpal, 71, di Taman Tuanku Jaafar Fasa 2, dekat sini dipecahkan serta dikorek bagi membolehkan kajian terperinci mencari punca ia dikatakan panas.

Pengarahnya, Mustafar Hamzah berkata, pihaknya sudah pun membuat pemeriksaan awal di bahagian permukaan lantai berkenaan dan mendapati tiada faktor-faktor geologi disyaki menjadi penyumbang kepada masalah itu.

“Kita turut membuat pemeriksaan pada jarak 100 hingga 200 meter di sekitar kediaman tersebut selain melihat kajian saintifik dan turut mendapati keadaan sama iaitu tiada faktor geologi menjadi penyumbang kepada pemanasan sebahagian lantai garaj tersebut,” katanya. 

Menurutnya, hanya memecah dan mengorek lantai itu saja cadangan terbaik setakat ini bagi mencari puncanya.

“Itu langkah terbaik yang boleh dilakukan kerana apabila lantai itu dipecah dan dikorek, kita boleh mengkaji suhu tanah di situ sama ada ia mungkin ada kaitan dengan faktor-faktor geologi ataupun tidak. Jika ada, kita akan selesaikan masalah tersebut," katanya di sini, semalam.

Mustafar berkata, dengan hanya melihat kepada permukaan saja, adalah sukar untuk mengetahui puncanya.

“Namun, terpulang kepada pemilik kediaman untuk memberi kebenaran, tetapi kita cuma memberi cadangan saja," katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menasihatkan kepada Abd Rahman merujuk masalah kepada Bahagian Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kerja Raya (JKR).