SHAH ALAM – Hakim Datuk Akhtar Tahir memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bekas peguam, N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya mempunyai motif untuk membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya kerana tersepit isu penjualan tanah di Pulau Pinang.

Akhtar berkata, isu penjualan tanah itu melibatkan Sosilawati dan bekas Adun Sementa, Datuk Abd Rahman Palil.

Bagaimanapun, tindakan Pathma mewakili kedua-dua mereka adalah tidak beretika sehingga dia juga enggan membuat perjumpaan antara keduanya.

“Motif itu diperoleh setelah mempertimbangkan keterangan Pathma yang mempunyai sebab lain yang lebih kukuh dan bukan disebabkan isu cek semata-mata.

“Akibat tertekan dengan Sosilawati dan Abd Rahman, Pathma mengambil jalan mudah dengan menghabiskan salah seorang daripada mereka dan ini berlaku kepada Sosilawati.
“Sementara tiga lagi rakan Sosilawati yang mengikuti jutawan tersebut ke Banting pada hari kejadian turut dibunuh,” katanya.

Akhtar berkata demikian dalam alasan penghakimannya selepas menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Pathmanabhan, T Thilaiyalagan; R Matan dan R Khatavarayan selepas didapati bersalah membunuh Sosilawati dan tiga rakannya.

Dalam prosiding terdahulu, Akhtar berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah berpuas hati dengan semua bukti dan bahan bukti yang dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan yang bermula pada 4 Julai 2011.

Katanya, pembelaan di peringkat ini telah gagal menyangkal kes pendakwaan kerana bukti dan keterangan sudah cukup mensabitkan semua tertuduh bersalah membunuh semua mangsa dengan satu niat.

Menurutnya, walaupun tiada mayat ditemui, mahkamah menerima pakai bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan, iaitu kesan darah dan barang peribadi yang ditemui di kawasan Ladang Gadong, Banting.

“Justeru, mahkamah berpendapat penemuan kesemua barang bukti tersebut menunjukkan kehadiran mereka di ladang pada hari kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah menerima pakai keterangan anak kepada Sosilawati, Erni Dekritawati Buhari, yang mengesahkan bahawa ibunya akan berjumpa dengan Pathma di Banting, untuk menyelesaikan dua keping cek.

“Mahkamah beranggapan tiada sebab untuk saksi ini menipu. Begitu juga dengan isteri mangsa yang mengikut Sosilawati sebagai penasihat.

“Selain itu rekod panggilan telefon yang dikemukakan oleh saksi telekomunikasi menunjukkan Sosilawati dan rakannya berada di Banting,” katanya.

Akhtar berkata, bagaimanapun, kesemua keterangan ini tidak boleh dicabar oleh pembelaan.

Dalam pada itu, Akhtar berkata kehadiran semua mangsa di Ladang Gadong turut disahkan oleh pembantu rumah warga Indonesia, Siti Hamidah Karnax.

“Keterangan saksi itu ada melihat seorang perempuan dan tiga lelaki Melayu pada petang 30 Ogos 2010 serta mendengar jeritan selain melihat api besar di kawasan ladang.

“Mahkamah lebih percayakan kredibiliti saksi ini dan dia memberi keterangan yang benar,” katanya.

Akhtar berkata, beliau percaya dengan keterangan tertuduh keempat, Khatvarayan, yang mengesahkan Sosilawati dan tiga rakannya datang ke ladang pada 30 Ogos 2010.

Bagaimanapun, jika merujuk kepada keterangan Khatavarayan, Akhtar berkata, beliau menganggap tertuduh itu jelas sekali rakan subahat, namun berpaling tadah kerana mungkin berselisih faham dengan tertuduh pertama.

“Mahkamah berpendapat kebanyakan keterangan Khatavarayan hanya direka secara berhati-hati untuk menunjukkan dia tidak bersalah.

“Versi keterangan Khatavarayan adalah untuk selamatkan dirinya, meskipun banyak percanggahan keterangan dengan tiga lagi tertuduh lain,” katanya.

Katanya, pembelaan gagal menjelaskan berhubung barangan peribadi mangsa selain tiada penjelasan mengenai penemuan darah dan tulang manusia di ladang terbabit.

“Pembelaan juga mencabar bukti DNA, namun tiada sebab untuk tolak bukti saksi pakar yang diterima sebelum ini kerana pembelaan gagal berbuat demikian.

“Malah penemuan darah dan sisa tulang manusia di ladang menimbulkan kemungkinan kejadian yang berlaku kepada kesemua mangsa yang dibakar sehingga mati,” katanya.

Menurutnya, mahkamah bersetuju dengan cadangan peguam, iaitu tertuduh keempat yang memanipulasi bukti untuk menyesuaikan dengan kesnya kerana dia mendengar semua keterangan saksi dan ia tidak sukar untuk mencipta semua keterangan di mahkamah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Menyifatkan perbicaraan pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya sebagai kes paling diingatinya sebagai hakim, Tun Arifin Zakaria berkata Mahkamah Persekutuan bergantung sepenuhnya pada bukti keadaan untuk mensabitkan tiga lelaki termasuk seorang bekas peguam.
  • BATU PAHAT - “Patut pun dalam minggu ini, perasaan rindu teramat sangat terhadap arwah Kak Wati (Sosilawati) menebal dalam hati, hari-hari saya teringatkan dia,” kata Rosnani Lawiya, 52, adik kepada jutawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati yang mati dibunuh dengan kejam tujuh tahun lalu.
  • PUTRAJAYA - Bekas peguam N Pathmanabhan bersama dua lagi pekerja ladang akhirnya ke tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan sebentar tadi memutuskan mereka bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga pembantunya tujuh tahun lalu.
  • KUALA LUMPUR - Lima anak jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, yang mati dibunuh pada 2010, hari ini mendapat kebenaran...
  • KUALA LUMPUR - Lima anak jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya menfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk memaksa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan sijil kematian ibunya, yang mati dibunuh di Ladang Gadong, Banting, Selangor, pada 2010.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.