KUALA LUMPUR - Kawasan hutan dan berpaya antara cabaran sukar ditempuh pasukan mencari bangkai pesawat pejuang Hawk 108, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mengorbankan dua juruterbang dalam nahas di Chukai, Terengganu semalam.

Panglima Tentera Udara, Jen Datuk Seri Affendi Buang berkata, pasukan mencari yang terdiri daripada TUDM, tentera darat dan Polis Diraja Malaysia masih lagi mencari bangkai pesawat tersebut di lokasi penemuan kedua-dua mayat juruterbang itu namun gagal menemui sebarang petunjuk ketika ini.

"Kawasan hutan dan berpaya itu memang cabaran buat pasukan penyelamat. Malah pemantauan menggunakan helikopter juga sukar mengesan sebarang petanda termasuk kepulan asap atau bekas terbakar," katanya kepada pemberita.

[Tubuh pasukan khas siasat punca nahas]

Beliau berkata demikian selepas urusan pengebumian jenazah Mejar Yazmi Mohamed Yusof di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa di sini tengah hari, tadi.

Yazmi dan seorang lagi juruterbang, Mejar Mohd Hasri Zahari, 39, terkorban apabila pesawat Hawk 108 yang diterbangkan mereka dipercayai terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai semalam.

Jasad mereka ditemui pada pukul 2.30 petang semalam, dalam jarak antara 20 meter antara satu sama lain, dengan payung terjun masing-masing yang menunjukkan mereka telah melepaskan diri dengan menggunakan kerusi lenting pesawat.

Pesawat Hawk 108 itu berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan pada jam 11 pagi semalam, sebelum dilaporkan terputus hubungan kira-kira setengah jam kemudian.

Afendi berkata siasatan oleh Jawatankuasa Khas mengenai insiden malang itu akan mengambil masa lama jika bukti seperti bangkai pesawat lambat atau sukar dijumpai pasukan mencari. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUTTERWORTH - Laporan awal siasatan insiden pesawat Hawk 108 yang terhempas di Chukai, Terengganu pada 15 Jun lepas yang mengorbankan dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan dikeluarkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.
  • SHAH ALAM - Pas melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mangsa nahas pesawat Hawk 108, Mejar Yazmi Mohamed Yusof dan Mejar Hasri Zahari di Chukai, Terengganu petang semalam.
  • KEMAMAN - Sebuah lokasi kira-kira dua kilometer dari lokasi dua mayat juruterbang pesawat Hawk 108 ditemukan di Jalan Chukai-Ibok berdekatan Kampung Yak Yah pada 2.30 petang semalam, menjadi tumpuan orang ramai hari ini.
  • SEPANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) menahan sepasang suami isteri di Balai Berlepas Antarabangsa, KLIA 2, kerana membawa wang tunai berjumlah RM700,000 yang ditemui di dalam bagasinya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.