KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan hari ini memfailkan kebenaran semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) memberi maklum balas berhubung pendaftaran gabungan tersebut yang masih tergantung.

Permohonan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi melalui firma guaman Tetuan Gobind Singh Deo & Co dengan menamakan ROS sebagai responden.

Selain Datuk Saifuddin Abdullah selaku Setiausaha Jawatankuasa Penaja gabungan itu; turut bertindak sebagai pemohon ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng;  Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Setiausaha Agung Amanah, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus; serta Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Berdasarkan permohonan tersebut, kesemua pemohon menuntut deklarasi bahawa tindakan ROS yang tidak mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai pertubuhan berdaftar dan membalas surat bertarikh 6 Februari lalu adalah bercanggah dengan kewajipan statutori dan harapan sah mereka.

Mereka juga menuntut deklarasi tindakan itu tidak munasabah, mala fide, dan menuntut perintah mandamus bagi mendesak ROS mendaftarkan Harapan sebagai pertubuhan berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 selain kos dan perintah lain yang sesuai.

Berdasarkan afidavit yang difailkan bersama permohonan itu, Abang Ahmad Kerdee berkata, kelewatan responden dalam menyempurnakan pendaftaran Pakatan Harapan menyebabkan pakatan itu, DAP, PKR, Amanah dan Bersatu terjejas.

Beliau berkata jika Harapan tidak didaftar sebagai pertubuhan berdaftar, calon-calon pilihan raya dalam parti komponen Pakatan Harapan iaitu DAP, PKR, Amanah atau Bersatu tidak akan dapat menggunakan logo Pakatan Harapan atau parti-parti komponen Harapan dalam pilihan raya akan datang.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :