BUKIT MERTAJAM - Mayat bayi berusia 46 hari, yang meninggal dunia dipercayai akibat didera anggota keluarganya di rumah mereka di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah, masih ditempatkan di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, ini kerana pakar pergigian mahu membuat pemeriksaan terhadap kesan gigitan yang terdapat pada pipi dan beberapa bahagian tubuh Nurul Ain Umairah Muhamad Firdaus esok.

"Pakar pergigian telah maklumkan kepada polis mereka akan membuat pemeriksaan dan ujian berhubung beberapa kesan gigitan yang terdapat pada bayi malang itu esok.

"Selain itu, pemeriksaan dan ujian gigi terhadap ibu dan bapa mangsa akan dijalankan pakar pergigian bagi mengenalpasti siapa yang menggigit bayi itu," katanya di sini, hari ini.

Nurul Ain Umairah meninggal dunia pada 10.45 pagi Khamis ketika dalam perjalanan ke HSJ.

Berdasarkan laporan bedah siasat terhadap mayatnya, bayi itu meninggal dunia akibat pendarahan di luar otak dan selain itu terdapat banyak kecederaan lebam, luka dan calar di badan mangsa.

Berikutan itu, polis menahan reman ibu bapa bayi berkenaan selama tujuh  hari bagi  membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Nik Ros Azhan berkata siasatan lanjut kes itu masih dijalankan termasuk memanggil beberapa lagi pihak untuk direkodkan keterangan.

"Saya yakin kami dapat menyelesaikan kes ini dalam masa terdekat berdasarkan beberapa bukti dan keterangan yang diperoleh polis," katanya.

Sementara itu, datuk bayi itu yang mahu dikenali sebagai Saidon, 53, ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengambil jenazah bayi berkenaan selepas semua prosedur dan siasatan polis selesai.

Katanya, mereka sekeluarga menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci demi keadilan untuk cucu keempatnya itu.

"Polis maklumkan mungkin esok saya boleh tuntut jenazah cucu saya...jenazahnya akan dibawa balik ke rumah kami di Kampung Tok Panjang sebelum dikebumikan di tanah perkuburan di sini," katanya. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Seorang operator mesin cetak ditahan selepas dipercayai memiliki 6 gram (g) syabu dan 3g pil kuda dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Abdul Kadir Adabi, di sini.
  • BUKIT MERTAJAM - Pasangan suami isteri direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian anak mereka yang berusia 46 hari di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah di sini pagi semalam.
  • ISKANDAR PUTERI - Pasukan Tindak Khas Op Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri berjaya menumpaskan dua kumpulan curi motosikal sekitar Gelang Patah, Skudai dan Tanjung Kupang susulan penahanan 12 lelaki dari Geng Wan Joi dan Geng Pulai Emas yang dipercayai terlibat dalam 36 kes.
  • AMPANG - Beroperasi dengan menjalankan kegiatan perjudian atas talian di kawasan apartment untuk mengelak daripada mudah dihidu pihak berkuasa.