AUTA
 
Satu mesej tersebar di laman sosial dan aplikasi pesanan WhatsApp yang menyatakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuat satu operasi dikenali sebagai ‘Ops Raya Cina’ dalam tempoh terdekat.

Mesej itu menyebut JPJ memutuskan untuk membuat operasi berkenaan setelah mengusulkan perkara itu dalam satu mesyuarat yang berlangsung di ibu pejabat agensi tersebut di Putrajaya, Rabu lalu.

Menurut pesanan itu, operasi tersebut akan dijalankan di seluruh negara dengan anggota JPJ membuat penyamaran, iaitu tanpa memakai pakaian seragam dan tidak menggunakan kenderaan jabatan itu.

“Setiap anggota diberikan sasaran 15 saman seorang. Mesyuarat memutuskan pesalah-pesalah ini akan diberi surat saman secara pos kepada pemilik dan denda tidak kurang RM1,000,” menurut mesej berkenaan.
 
FAKTA
 
JPJ menafikan penyebaran maklumat mengenai operasi itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan agensi itu, JPJ memaklumkan mesej berkenaan adalah palsu dan dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“JPJ ingin menegaskan bahawa mesej atau kenyataan itu tidak benar dan tidak pernah dikeluarkan,” katanya.

Selain itu, JPJ menjelaskan, pengurusan tertinggi jabatan tersebut tidak pernah menetapkan sasaran bagi kepada setiap anggotanya untuk mengeluarkan 15 saman seperti yang didakwa di dalam pesanan itu.

“Sehubungan itu, kami (JPJ) ingin menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang mesej melalui media sosial ataupun aplikasi WhatsApp yang tidak mempunyai sumber sahih dan kemudian menyebarkannya sebelum pengesahan dilakukan dengan JPJ sendiri,” kata jabatan itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KADAR bayaran kompaun yang dikenakan kepada pengguna kenderaan yang lewat memperbaharui lesen memandu yang telah tamat tempoh kini kembali tular menerusi aplikasi WhatsApp.
  • Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat mengesahkan tular kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Batu Tiga diculik adalah palsu.
  • SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi akaun Facebook dan disahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), memaklumkan tidak ada kod sekuriti dengan cara memasukkan nombor pin terbalik pernah diwujudkan bagi menjamin keselamatan pengguna mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
  • TERSEBAR viral di laman sosial mengatakan terdapat taktik terbaru penjenayah untuk merompak rumah tertentu.
  • SELEPAS disahkan palsu tahun lalu, Majlis Jom Nikah didakwa anjuran Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus kini sekali lagi disebarkan secara meluas menerusi media sosial serta aplikasi WhatsApp.