GEORGETOWN - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Mukabuku Pulau Pinang, hari ini membuat laporan polis mendakwa dua lelaki mengedar kitab Bible kepada pelajar beragama Islam, di hadapan sebuah sekolah di Jelutong di sini.
   
Pengerusi persatuan itu, Salleh Ismail, berkata pihaknya mempunyai bukti bergambar dan video dua lelaki itu memberi Bible kecil berbahasa Inggeris kepada pelajar Melayu di sekolah menengah berkenaan.
   
"Kami harap pihak bertanggungjawab menyiasat kegiatan ini kerana ia melibatkan akidah umat Islam terutama generasi muda," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Jelutong.
   
Beliau berkata pihaknya membuat laporan polis kerana aktiviti pengedaran Bible kepada pelajar Islam adalah kegiatan berdakwah agama lain kepada umat Islam dan ia menyalahi Perkara 11 (4) dalam Perlembagaan Persekutuan yang melarang agama lain disebarkan kepada orang Islam.  - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.