KUALA TERENGGANU - Cubaan dua buah bot nelayan asing untuk meloloskan diri gagal apabila berjaya di pintas kapal ronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Daerah Maritim 9 (DM9) dalam Operasi Perkasa Timur Siri 105/2017& Operasi Marikh Siri 105/2017, Isnin lalu.

Dalam operasi itu, Maritim berjaya menahan 21 nelayan warga Vietnam termasuk lima awak-awak yang dipercayai bawah umur, berusia antara 15-47 tahun dalam insiden kejar-mengejar hampir setengah jam kira-kira 100 batu nautika dari muka muara Kuala Terengganu.

Turut dirampas, 3,000 kilogram hasil laut, kira-kira 11,000 liter minyak diesel serta bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM2.4 juta.

Pengarah Maritim DM9, Kapten Maritim Rahim Ramli berkata, Kapal Maritim KM Segantang yang sedang beroperasi itu menggunakan teropong khas, dan dapat melihat dua buah bot nelayan menyerupai bot nelayan tempatan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan yang disyaki melakukan secara tunda ganding.  

Bagaimanapun, setelah menyedari kehadiran kapal Maritim, membuatkan kedua-dua bot tersebut melepaskan pukat ke laut dan mula melarikan diri.

“Pihak Maritim bagaimanapun berjaya memintas dan akhirnya kira-kira jam 3.59 petang, tangkapan pertama telah berjaya dilakukan ke atas bot pertama, diikuti tangkapan kedua kira-kira jam 4.29 petang ke atas bot kedua.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati 4 awak-awak warganegara Vietnam termasuk tekong berada di dalam bot tersebut, berusia 16 hingga 31 tahun. Manakala pemeriksaan ke atas bot kedua pula mendapati seramai 17 awak-awak yang juga warganegara Vietnam termasuk tekong berada di dalam bot tersebut yang berumur 15 hingga 47 tahun.

“Lanjutan itu, awak-awak di bawah umur akan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahariah, Kuala Terengganu bagi tujuan pengesahan umur untuk dibuat pengusiran ke negara asal mereka melalui Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya pada sidang media di Pejabat Maritim DM9 di sini, hari ini.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut tidak mempunyai sebarang lesen serta permit yang sah untuk menangkap ikan di perairan perikanan Malaysia malah sebahagian daripada awak-awak juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Bot dan awak-awak itu kemudiannya dibawa dan ditahan di jeti Maritim Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut, di bawah Akta Perikanan 1985.

“Maritim sentiasa membuat rondaan, pemantauan di sempadan perairan negara dari masa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim. Maritim berharap agar masyarakat umum lebih-lebih lagi komuniti laut dapat bekerjasama dengan menyalurkan maklumat dalam menangani isu jenayah maritim serta keselamatan di laut.

“Jika berlaku sebarang kejadian boleh hubungi terus melalui talian MERS 999 atau 09-6224357 Pusat Operasi (PUSOP) DM9 Negeri Terengganu,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAIPING - Dua nelayan didenda RM4,000 dan dihukum penjara dua bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan set parabola tidak mengikut standard dan peraturan di Jalan Pantai Kuala Kurau, Kerian dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen, hari ini.
  • SIBU - Kerajaan Persekutuan telah memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri Sarawak bagi meneliti setiap permohonan lesen perikanan laut dalam di negeri ini sebelum dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk kelulusan.
  • BAGAN DATUK - Seorang nelayan berusia sekitar 60an dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari botnya di kuala Sungai Tiang, Hutan Melintang, petang tadi.
  • LANGKAWI - Tiga nelayan terpaksa berpaut pada tong air kosong dan terapung-apung di laut selama lebih lapan jam selepas bot mereka karam dalam laut bergelora di sini hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.