TIDAK seperti sekarang, bagi orang zaman dahulu, menamakan anak bukanlah perkara yang sukar untuk difikirkan.

Kebiasaannya, mereka akan menamakan anak dengan sesuatu yang mudah dan ringkas. Uniknya lagi, mereka sering meletakkan nama anak sempena sesuatu kejadian.

Begitulah yang berlaku kepada pemilik nama Tingga Abas, 61. Namanya dikatakan daripada perkataan ‘tinggal’,  merujuk kepada anak yang ‘ditinggalkan’ ibu ketika dilahirkan.

 Menurut Tingga, dia mengetahui asal-usul namanya itu yang dianggap unik bagi sesetengah orang daripada ibu saudaranya.

“Saya sebenarnya tak tahu sangat, tapi mak saudaralah yang cerita macam mana boleh dapat nama Tingga. Dia kata, nama Tingga tu asal daripada perkataan tinggal.

“Sewaktu arwah emak melahirkan saya, arwah emak meninggal dunia, lalu saya dinamakan sebagai Tingga,” katanya yang berasal dari Kuala Pahang, Pekan dan kini menetap di Kampung Jerantut Feri, di sini.

Tingga juga memberitahu, dia tidak mengetahui mengapa namanya tidak mempunyai huruf L sebagaimana perkataan asalnya, tinggal.

“Mungkin juga kerana ejaan orang dahulu, saya juga tak tahu. Saya juga tak pasti siapa yang menamakan saya, sama ada mak saudara atau arwah ayah. Kemungkinan arwah ayah," katanya.

Disangka warga Indonesia

Meskipun nama Tingga dianggap unik, namun tidak bagi empunya pemilik nama yang berasakan ia sebagai sesuatu yang biasa.

Namun pengalaman ditegur seorang jururawat ketika mendapatkan rawatan menjadi kenangan lucu yang sukar untuk dilupakannya sehingga kini.

“Saya sebenarnya sering dapatkan rawatan di klinik berhampiran. Setelah beberapa kali dapatkan rawatan, barulah seorang misi (jururawat) tegur.

“Misi tu mungkin sebelum ni tak berani nak bertanya, tapi entah bagaimana, dia tergerak hendak bertanya kenapa nama saya pelik sangat setelah beberapa kali berjumpa,” katanya.

Tingga bersama suaminya, Syed Ahmad.

Apa yang mencuit hatinya apabila jururawat tersebut menyangka dirinya bukan warganegara Malaysia, sebaliknya warganegara Indonesia kerana namanya itu.

“Saya hanya gelak bila dia tanya ‘makcik orang Indonesia ke?’ saya cuma menyuruhnya melihat sendiri kad pengenalan dan alamat tertera,” katanya.

Menurutnya, satu lagi kejadian yang sukar dilupakan sewaktu bekerja sebagai tukang cuci di sebuah masjid. Salah seorang kenalan memperkenalkan dirinya kepada isteri kenalan itu.

“Kenalan itu seorang kontraktor dan datang membawa isterinya. Kenalan itu memanggil saya Kak Tingga. Kemudian isterinya bertanya saya tinggal di mana kerana menyangka Tingga itu merujuk pada perkataan tinggal.

“Saya jawab, bukan saya tinggal di mana, tapi memang nama saya Tingga. Terkejut dia dengar penjelasan saya,” katanya yang bercakap menggunakan loghat Terengganu, yang merupakan negeri asal-usul keluarganya.

Tidak pernah diejek

Bagi Tingga, sepanjang hayatnya, dia tidak pernah diusik atau diejek kerana namanya itu, tambahan pula dia juga memiliki seorang rakan yang juga mempunyai nama unik sepertinya suatu ketika dahulu.

“Sewaktu di sekolah sampailah saya bekerja, tidak ada yang ejek nama saya sebab ada juga rakan yang mempunyai nama yang pelik seperti saya,” katanya.

Katanya, ketika bekerja di sebuah kilang papan di sini, dia memiliki seorang rakan dikenali dengan nama Tengah yang juga merupakan mertua kepada anak saudaranya. Bagaimanapun difahamkan rakannya itu sudah pun meninggal dunia.

“Waktu bekerja dahulu kami berkawan berdua. Orang panggil dia Mak Tengah dan saya Mak Tinggal. Namanya Tengah mungkin kerana dia anak tengah. Iyalah, orang zaman dahulu, mudah sahaja bagi nama anak,” katanya.

Kerana rakannya juga memiliki nama unik, dia tidak pernah rasa pelik.

“Saya rasa biasa sahaja, tidak ada apa yang istimewa atau pelik sebab kawan juga ada nama pelik,” katanya.

Ada anak nama unik

Bukan sahaja dirinya memiliki nama unik, malah anak kedua dari enam anaknya turut memiliki nama yang tidak dimiliki orang lain.

Tingga menamakan anaknya, Syed Aduka Syed Ahmad yang kini telahpun berusia 38 tahun.

“Sebenarnya saya mahu anak saya itu dinamakan dengan lima huruf seperti nama ayahnya, Ahmad. Entah macam mana terlintas di fikiran nama Aduka, jadi terus saya letak Aduka.

“Sewaktu dia kecil dahulu ada anak (Aduka) mengadu mengapa menamakannya dengan nama itu kerana sering diejek rakan. Dia malu pada mulanya, tapi lama-lama dia sudah boleh terima dan biasakan diri,” katanya.

Bagi suami Tingga, Syed Ahmad Syed Ideros, 63, memiliki nama unik bukanlah penghalang buatnya untuk menerima Tingga yang dijodohkan ahli keluarga sebagai isteri.

“Saya kenal isteri ketika bekerja di Mentakab. Pertemuan urusan orang tua.

“Ketika mula diperkenalkan dahulu, saya rasa pelik juga dengar namanya, namun saya tidak pernah bertanya kerana merasakan ia sesuatu yang istimewa yang ada pada dirinya,” katanya.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :