KUANTAN - Panglima Angkatan Tentera Malaysia  (ATM) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menafikan bangkai pesawat Hawk 108 yang terlibat dengan nahas pagi tadi telah dijumpai seperti yang tersebar di media sosial.

Beliau berkata operasi mencari pesawat malang itu masih lagi diteruskan di persekitaran kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu, lokasi mayat kedua-dua juruterbang ditemukan.

"Yang tersebar di media sosial itu penemuan bangkai pesawat lama Aermacchi MB339C, jadi nasihat saya dalam keadaan kita berduka dengan tragedi ini jangan ambil kesempatan dengan sebar berita yang kurang elok.

"Jangan timbulkan sebarang spekulasi dan berita palsu yang boleh jejaskan emosi keluarga mangsa, hormati perasaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan ( HTAA), di sini petang ini.

Turut berada di unit forensik berkenaan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

Dalam masa yang sama Raja Mohamed Affandi menyifatkan pemergian ke rahmatullah Mejar Hasri Zahari,  31, dan  Mejar Yazmi Mohamed Yusof , 39, dalam nahas pagi tadi merupakan satu kehilangan besar kepada ATM dan negara.

"Mereka merupakan juruterbang yang berpengalaman 19 tahun... satu kehilangan besar kepada Angkatan Tentera Malaysia dan negara... saya terharu dalam keadaan bulan Ramadan, mereka masih ingin mengekalkan kompetensi yang tinggi.

"Saya berharap keluarga bersabar hadapi dugaan ini terutama pada waktu 10 hari terakhir Ramadan ini, dan kita akan bantu sebaik mungkin selain turut berkongsi kesedihan mereka," katanya.

Menurutnya proses bedah siasat dijangka dilakukan pada  9 malam ini dan selepas itu jenazah kedua-dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu akan dibawa ke Masjid TUDM Kuantan untuk disembahyang.

Jenazah kedua-duanya dijangka diterbangkan ke Pangkalan TUDM Subang pagi esok sebelum dikebumikan di  kampung masing-masing.

Jenazah Hasri dijangka dikebumikan di  Felda Lui Muda Bandar Baru Jempol, Negeri Sembilan, manakala jenazah Yazmi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Titiwangsa, Kuala Lumpur. –Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka memulakan operasi secara berperingkat di Pangkalan Udara Sendayan di Negeri Sembilan bermula Januari 2018, kata Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
  • IPOH - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang membuat penilaian terhadap empat unit pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) yang sesuai bagi meningkatkan keupayaan pasukan itu.
  • KUALA LUMPUR - Bahagian Perhubungan Awam TUDM (MTU-Sekretariat Delta) berjaya mengharumkan nama TUDM setelah dinobatkan sebagai penerima anugerah dari Dewan Sosial Media Malaysia pada Malam Anugerah Media Sosial Malaysia Tahun 2017 yang diadakan di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.
  • SUBANG - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah bersedia dengan beberapa pesawat untuk melaksanakan arahan misi kemanusian bagi membantu pelarian Rohingya di Bangladesh.
  • PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan laporan bahawa kontena mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi telah hilang di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor Bahru.