JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan pemergian Tan Sri Adenan Satem akibat komplikasi jantung di Sarawak tengah hari tadi sebagai kehilangan besar buat penduduk di negeri itu dan negara amnya.

Beliau berkata kehilangan Allahyarham sudah pastinya dirasai kerana Ketua Menteri Sarawak itu sedang rancak melaksanakan pelbagai inisiatif memajukan negeri itu.

"Bagi seluruh rakyat Johor, saya merakamkan ucapan takziah kepada Puan Sri Jamilah Anu (isteri Adenan) dan keluarga serta seluruh rakyat Sarawak di atas pemergian Ketua Menteri Sarawak (Tan Sri) Adenan Satem ke rahmatullah. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan diberkati ALLAH SWT," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Adenan, 72, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1.20 tengahari tadi di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching berikutan komplikasi jantung yang dialaminya.

Beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak kelima selepas mengambil alih jawatan itu daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari, 2014.

Adenan telah membantu Barisan Nasional meraih kemenangan besar pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 pada 7 Mei, tahun lepas. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Bekas wartawan hiburan popular tanah air, Bahyah Mahmood, 75, atau lebih dikenali dengan nama BAM, meninggal dunia akibat kanser hati di Institut Kanser Negara, Putrajaya. awal pagi tadi.
  • KUALA LUMPUR - "Saya tidak sangka dia pergi dulu sebelum saya. Saya ingat saya yang pergi dulu. Apa pun, ini sudah ketentuan-Nya, saya terima dengan reda," luah ibu kepada Allahyarham Mejar Yazmi Mohamed Yusof, Datin Hanizah Ibrahim, 70.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.