KUALA LUMPUR - Mayat mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang pertama dijangka dikenal pasti seawal petang esok.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau mengesahkan perkara itu setelah bercakap dengan pihak hospital, hari ini.

"Pihak hospital telah menerima semua DNA daripada waris mangsa dan akan dipadankan secepat mungkin.

"Tempoh yang paling dekat mendapat keputusan daripada DNA waris dan mangsa seawal jam 3.30 petang, petang esok. Semua waris telah beri DNA kepada pihak hospital," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menziarahi keluarga mangsa tragedi itu di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di sini, hari ini.

Jamil Khir berkata, bagaimanapun sekiranya ada mangsa dapat dicam lebih awal, perkara tersebut akan diuar-uarkan oleh pihak hospital kepada waris mangsa dan orang awam secepat mungkin.

Dalam pada itu, beberapa mayat mangsa dijangka akan dikebumikan di pusat perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Batu Caves, namun perkara itu harus mendapat persetujuan daripada keluarga waris.

"Kita sedang menunggu kepastian terakhir (dikebumikan di Raudahatul Sakinah Batu Caves). Namun, sebahagian besarnya akan dikebumikan di sana," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan menyediakan dua tempat penginapan iaitu Hotel Putra dan Hotel Grand Seasons di Jalan Pahang, berdekatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk memudahkan keluarga mangsa berehat sambil menunggu keputusan daripada pihak hospital.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Dua orang mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini yang sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dijangka dibenarkan pulang esok.
  • PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah memeriksa lebih 200 pusat tahfiz di seluruh negara, susulan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, 14 September lalu.
  • KUALA LUMPUR - Bangunan baharu Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung akan dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang mendapat kelulusan pihak Bomba dan turut mempunyai 24 kamera litar tertutup (CCTV).
  • KUALA LUMPUR - Selepas dua minggu tragedi kebakaran menyayat hati di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah yang mengorbankan nyawa 21 pelajar dan dua guru, hari ini lima remaja dan seorang kanak-kanak dihadapkan ke muka pengadilan.
  • KUALA LUMPUR - Dua remaja dihadapkan di Mahkamah Majistret sebentar tadi atas tuduhan membunuh 23 individu dalam kebakaran pusat tahfiz Quran Ittifaqiyah.