LENGGONG - Mayat seorang daripada dua pemancing yang hilang akibat bot dinaiki mereka karam di Tasik Raban berhampiran Kampung Kelantan di sini, ditemui hari ini.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, mayat Amirul Asyraf Abdullah, 24, ditemui pada 10.10 pagi kira-kira lima meter dari bot karam itu, iaitu dua jam selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) memulakan operasi mereka.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Ismail berkata operasi SAR masih diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa yang belum ditemukan iaitu Muhammad Faliq Fadzil, 26.

Kedua-dua mangsa disedari hilang selepas penduduk kampung menjumpai bot  karam itu tetapi mereka gagal dikesan sehingga 7 malam tadi.

Pengadu, yang merupakan pemilik bot berkenaan, kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Lenggong pada 8.36 malam tadi.

Amirul Asyraf dan Muhammad Faliq menyewa bot di Tropical Outdoor Pursuit Center Tasik Raban, Lenggong untuk pergi memancing di kawasan Tasik Raban pada 8 pagi semalam. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ROMPIN - Gerakan menngesan dan mencari mayat seorang lelaki yang dilihat terapung di Perairan Pulau Sri Buat, Tanjung Gemok, Rompin pagi tadi berdepan kesukaran apabila cuaca buruk ekoran angin kencang, hujan lebat dan laut bergelora.
  • BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki warga emas dalam keadaan tidak berpakaian dan berulat dipercayai telah meninggal dunia sejak tujuh hari lepas ditemukan dalam sebuah rumah di Jalan Haji Sulaiman, Berapit di sini hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Mayat militan kelahiran Malaysia, Dr Mahmud Ahmad, yang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Filipina pada 18 Oktober lalu, dijangka akan dibawa pulang ke tanah air.
  • GERIK - Seorang wanita ditemukan maut di dalam sebuah rumah di Taman Sinaran, di sini, tengahari tadi.