TAIPING - Seorang nelayan ditemui terapung dipercayai lemas selepas terjatuh di muara Sungai Tiram Dalam, Sungai Kerang, di sini, hari ini.

Mangsa Abd Rani Zakaria, 53, dari Kampung Sungai Punggur, Kuala Trong, di sini, dikatakan hilang sejak semalam selepas keluar memancing di sungai tersebut sebelum ditemui anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) ketika bersama-sama membuat pencarian dengan beberapa agensi lain.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, kira-kira jam 8 pagi semalam, orang awam yang membawa bot muatan kayu bakau melalui sungai tersebut mendapati terdapat sebuah bot tanpa penumpang dengan enjin dihidupkan.

Menurutnya, bagaimanapun ketika melalui sungai tersebut pada jam 1 tengah hari yang sama, mereka mula mengesyaki sesuatu apabila bot berkenaan masih dalam keadaan sama dan mendapati terdapat telefon bimbit di dalam bot itu.

"Keadaan itu kemudiannya dimaklumkan kepada polis. Operasi mencari dan menyelamat dilakukan oleh polis, Maritim, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan dibantu oleh penduduk kampung.

"Mayat mangsa telah dijumpai lebih kurang jam 11.20 pagi tadi dan tiba di jeti nelayan Kuala Trong pada jam 12 tengah hari. Mayat telah di hantar ke hospital Taiping untuk bedah siasat," katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa jatuh berhampiran dengan sangkar ikan miliknya.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Dalam pada itu, pihak Bomba dan Penyelamat Taiping menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.24 petang semalam.

Operasi pemantauan dilakukan dengan kerjasama beberapa agensi dan orang awam sejak malam tadi sehingga pagi ini.

Mangsa yang ditemui kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PORT DICKSON - Tiga nelayan di Pengkalan Nelayan Bagan Pinang kerugian mencecah puluhan ribu apabila perahu serta enjin dan peralatan menangkap ikan mereka dicuri awal pagi tadi.
  • SEKINCHAN - [VIDEO] Seluruh ahli keluarga seorang nelayan Malaysia dari Sekinchan yang kini ditahan di Indonesia menganggap pembebasan, Chia Kee Chan, 52, dijangka pada Khamis ini, sebagai hadiah tahun baharu Cina 16 Februari depan.
  • JOHOR BAHRU - Pertukaran nelayan Malaysia yang kini ditahan di Indonesia dan nelayan republik itu yang ditahan di Malaysia bagi kesalahan menceroboh kawasan perairan dijangka dilakukan pada Khamis ini, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar.
  • LUMUT - Lima nelayan tempatan termasuk seorang tekong berjaya diselamatkan daripada tahanan Agensi Penguatkuasa Maritim Indonesia (APMI), hari ini selepas bot mereka ditunda ke perairan negara itu setelah dikesan menjalankan aktiviti tangkapan ikan berdekatan kawasan sempadan.